KUALA LUMPUR, 4 November: Sering kali diberikan watak lelaki berimej urban dengan kehidupan mewah, model dan pelakon Malek McCrone ingin mencabar kemampuan diri meneroka pelbagai karakter.
Malek atau nama sebenarnya Malek Marcus McCrone, 32, berkata beliau tidak mahu terus terikat dengan acuan yang sama dan berhasrat membintangi naskhah bergenre aksi serta karya berunsur kemanusiaan yang mampu memberi inspirasi kepada masyarakat.
Mengambil contoh filem Big World yang mengangkat kisah individu yang hidup dengan palsi serebrum, beliau berkata karya sedemikian mempunyai nilai tersendiri melangkaui aspek hiburan.
“Dalam hidup ini ramai orang berdepan kesusahan dan saya rasa cerita seperti itu boleh memberi inspirasi kepada penonton,” katanya kepada pemberita selepas sidang media Festival Fesyen Islam (IFF) Kuala Lumpur 2026 di sini, baru-baru ini.
Menurut Malek, pengalaman menjayakan drama bersiri Good Boys Go To Heaven turut membantu meningkatkan kemampuan lakonannya menerusi bimbingan jurulatih lakonan Khairunazwan Rodzy dan pengarah Ariff Zulkarnain.
“Pembabitan saya dalam drama berkenaan membuka lebih banyak peluang lakonan, sekali gus memberi keyakinan untuk saya terus meneroka pelbagai karakter berbeza,” katanya.
Pada masa sama, pelakon drama bersiri First Wives: Sisters Before Misters itu mengakui lebih selesa hanya terlibat dalam satu projek pada satu-satu masa bagi memastikan setiap watak mempunyai identiti tersendiri, termasuk dari segi penampilan fizikal.
“Sebagai pelakon, kita kena berusaha mengubah penampilan fizikal sama ada rambut, saiz badan atau misai dan janggut mengikut kesesuaian watak. Kalau buat tiga drama serentak, nanti semuanya nampak sama,” katanya yang sedang menjalani penggambaran drama bersiri Doa yang Terlindung 2.
Selain lakonan, Malek yang berdarah kacukan Kanada dan Melayu turut meneroka bidang pengacaraan dan bakal bergandingan dengan Datin Elaine Daly sebagai pengacara IFF Kuala Lumpur 2026 yang dijadualkan berlangsung di Mandarin Oriental Kuala Lumpur dari 21 hingga 23 November ini, bertemakan Peranakan The Golden Era.
“Saya pernah cuba mengacarakan majlis hari raya yang memerlukan saya bercakap secara spontan dan berseloroh dengan tetamu, memang sangat susah. Bila tengok orang seperti Zizan (selebriti Zizan Razak) buat, saya memang kagum sebab bukannya senang,” katanya yang turut menjadikan gaya penyampaian berita sebagai rujukan semasa mengacara dengan skrip.
Dalam perkembangan lain, Malek yang baru sebulan mendirikan rumah tangga dengan wanita dikenali sebagai Tina, berkata isterinya bukan sahaja memahami tuntutan kerjayanya sebagai pelakon, malah menerima dengan hati terbuka tanggungjawab beliau menjaga adik perempuan yang mempunyai sindrom Down.
Anak sulung daripada tiga beradik itu berkata beliau mengambil masa kira-kira lapan bulan untuk memastikan adiknya yang berusia 26 tahun selesa dengan kehadiran Tina, 25, dan kini kedua-duanya menjadi teman rapat.
“Saya mencari seseorang yang boleh dipercayai dan ikhlas menjaga adik istimewa saya kerana kita bimbang tentang keselamatannya. Alhamdulillah, semuanya baik dan sekarang mereka sangat ceria.
“Isteri saya dan adik seperti kawan baik. Setiap minggu mereka keluar berkaraoke dan membeli-belah. Itulah yang adik saya mahukan, seorang kakak yang boleh menjadi kawannya,” katanya.
Malek dan isterinya melangsungkan pernikahan secara tertutup dengan hanya dihadiri ahli keluarga serta teman rapat di Batu Pahat, Johor pada 9 Oktober lepas. – Bernama





