KUCHING, 4 November: Yayasan Sarawak perlu terus memainkan peranan penting dalam melahirkan modal insan berkemahiran tinggi bagi memenuhi keperluan ekonomi baharu sekali gus membantu Sarawak mencapai status wilayah maju.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, pembangunan bakat menjadi antara keutamaan kerajaan negeri dalam memastikan Sarawak mampu menyesuaikan diri dengan perubahan landskap ekonomi global yang semakin dipacu teknologi dan inovasi.
Menurut beliau, peralihan daripada ekonomi berasaskan sumber tradisional kepada ekonomi moden memerlukan tenaga kerja yang mempunyai pengetahuan serta kemahiran dalam bidang teknologi baharu.

“Bakat merupakan kunci untuk kita bergerak ke hadapan menuju ekonomi baharu.
“Untuk itu, Yayasan Sarawak perlu memainkan peranan yang amat penting dalam melahirkan anak Sarawak yang mempunyai bakat tersebut supaya kita dapat melonjakkan ekonomi daripada perangkap pendapatan sederhana kepada ekonomi maju,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada Majlis Makan Malam Gala Ulang Tahun Ke-55 Yayasan Sarawak di Colosseum, Hotel Pullman Kuching, malam ini.
Selaras dengan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030), Yayasan Sarawak turut memberi penekanan terhadap pembangunan bakat dalam sektor ekonomi hijau dan digital.

Bidang yang dikenal pasti termasuk tenaga hidrogen, tenaga boleh diperbaharui, perakaunan karbon, bioteknologi dan kecerdasan buatan (AI) bagi memenuhi permintaan industri masa depan.
Dalam pada itu, beliau berkata, dasar pendidikan tinggi percuma Sarawak turut menarik perhatian pelabur teknologi antarabangsa yang melihat pembangunan bakat sebagai antara faktor penting dalam menentukan destinasi pelaburan.
Pada majlis sama, Abang Johari turut menyempurnakan pelancaran cadangan Kompleks Sarawak Kuala Lumpur yang baharu, selain acara memotong kek ulang tahun dan tayangan montaj khas sempena sambutan berkenaan.
Majlis turut menyaksikan penyampaian Anugerah Khas Perkhidmatan Lama dan Anugerah Kepimpinan Sepanjang Hayat sebagai penghargaan kepada individu yang memberikan sumbangan penting kepada Yayasan Sarawak.
Oleh Norman B




