Sibu wajar memiliki pusat seni persembahan sendiri – Abdul Karim

Facebook
WhatsApp
PERASMIAN.....Abdul Karim menyempurnakan majlis perasmian Malam Gala SIDF 2026 di sebuah hotel malam tadi.

SIBU: Sibu disaran mengemukakan permohonan kepada kerajaan Sarawak untuk membina sebuah pusat seni persembahan sendiri bagi menyokong perkembangan industri kreatif dan penganjuran acara bertaraf antarabangsa di bandar ini.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, cadangan itu wajar dipertimbangkan berdasarkan komitmen Sibu dalam menganjurkan Sibu International Dance Festival (SIDF) yang kini memasuki edisi ke-12.

Menurutnya, penganjuran SIDF secara konsisten membuktikan Sibu mempunyai potensi besar untuk terus berkembang sebagai salah satu pusat seni dan budaya di Sarawak.

PEMANGKIN INDUSTRI PELANCONGAN…..Abdul Karim merakam kenangan bersama para penari dari seluruh dunia selepas merasmikan Malam Gala SIDF 2026 di sebuah hotel malam tadi.

“Dengan minat, dedikasi dan komitmen yang ditunjukkan penganjur di Sibu sehingga edisi ke-12, saya berharap Sibu juga dapat memiliki sebuah pusat seni persembahan sendiri.

“Mereka boleh mengemukakan permohonan kepada kerajaan Sarawak untuk membina pusat seni persembahan di Sibu kerana saya tahu Sibu begitu komited dalam membawa dan menganjurkan acara sebegini,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada perasmian Malam Gala SIDF 2026 di sebuah hotel di sini, malam tadi.

Abdul Karim berkata, kewujudan pusat seni persembahan bukan sahaja menyediakan venue lebih sesuai untuk penganjuran acara seni, malah mampu menjadi pemangkin kepada perkembangan industri kreatif di Sibu.

MEMPERSONAKAN….Para penari sedang membuat persembahan pada perasmian Malam Gala SIDF 2026 di sebuah hotel malam tadi.

Katanya, Sarawak sendiri sedang memperkukuh ekosistem seni persembahan menerusi pembinaan sebuah pusat seni persembahan baharu di Kuching yang dijangka siap menjelang akhir tahun depan.

“Pusat berkenaan bakal menjadi bangunan ikonik serta menyediakan kemudahan dan venue yang lebih sesuai untuk perkembangan industri seni persembahan di Sarawak,” katanya.

Beliau turut memuji Hornland Dance Theatre selaku penganjur SIDF atas komitmen berterusan memastikan festival antarabangsa itu terus dianjurkan.

Katanya, penyertaan kumpulan tarian dari pelbagai negara termasuk Brazil dan Mauritius membuktikan kemampuan Sibu menarik penggiat seni dari seluruh dunia.

“Saya sangat kagum dengan penganjur kerana mampu membawa masuk begitu banyak kumpulan tarian dari seluruh dunia ke Sarawak.

“Tahniah dan pada tahun-tahun akan datang kita akan terus memberikan lebih banyak sokongan untuk menganjurkan acara sebegini,” ujarnya lagi.

Abdul Karim berkata, penganjuran SIDF turut membawa manfaat kepada sektor pelancongan dan hospitaliti apabila kehadiran peserta antarabangsa meningkatkan jumlah pelawat ke Sarawak.

“Apabila banyak kumpulan tarian datang ke Sarawak, ia turut menyokong industri hospitaliti dan meningkatkan jumlah pelawat yang kita anggap sebagai pelancong. Ini secara tidak langsung membantu industri pelancongan Sarawak,” katanya.

Beliau berkata, SIDF juga menjadi platform penting bagi memperkukuh pertukaran budaya, persefahaman dan persahabatan antarabangsa menerusi bahasa universal tarian.

Katanya, festival yang menghimpunkan ratusan penari dan penggiat budaya dari Malaysia serta luar negara itu membuka ruang kepada pertukaran budaya, kerjasama dan pembelajaran kreatif.

“Festival seperti ini memainkan peranan penting dalam mengukuhkan hubungan antara masyarakat selain memupuk rasa hormat dan persefahaman antara komuniti dari pelbagai negara,” katanya lagi.

Beliau turut mengalu-alukan peserta festival menikmati kepelbagaian budaya dan makanan Sarawak yang menurutnya menjadi antara kekuatan utama sektor pelancongan Sarawak.

Katanya, kepelbagaian 34 kumpulan etnik di Sarawak menawarkan pelbagai cara hidup, budaya, tarian dan sajian yang boleh diketengahkan kepada pengunjung.

“Saya berharap edisi ke-12 SIDF 2026 terus berjaya dalam memperkukuh pertukaran budaya antarabangsa, mewujudkan pengalaman bermakna kepada semua peserta serta memberi inspirasi kepada generasi dan penggiat seni pada masa akan datang,” ujar beliau.

Turut hadir, Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Michael Tiang Ming Tee, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Assek, Joseph Chieng, Ahli Parlimen Sibu, Oscar Ling, Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak (MTCP), Morshidi Fredrick, Pengerusi Majlis Perbandaran Sibu (MPS), Clarence Ting dan pengarah festival, Chen Ing Kuan.

Oleh Akun Giman