Eksklusif: Jerebu semakin tebal, IPU Sarikei cecah 191

Facebook
WhatsApp
KEADAAN jerebu di Daerah Meradong pada pagi ini.

SARIKEI: Keadaan jerebu di Sarikei dan Meradong bertambah buruk pagi ini apabila tinjauan Utusan Sarawak mendapati bangunan pada jarak jauh hampir tidak kelihatan, manakala bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) Sarikei melonjak kepada 191.

Tinjauan di sekitar Sarikei dan Bintangor mendapati ruang udara diselubungi jerebu tebal sehingga menyebabkan pandangan terhadap bangunan serta objek pada jarak jauh menjadi semakin kabur.

Berdasarkan data Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS) Jabatan Alam Sekitar (JAS), bacaan IPU Sarikei direkodkan pada 191 setakat 10.00 pagi, sekali gus berada dalam kategori tidak sihat.

Meskipun keadaan udara semakin berjerebu, tinjauan mendapati aktiviti harian masyarakat masih berjalan seperti biasa dengan orang ramai terus keluar untuk menjalankan urusan masing-masing.

Di Bintangor, tinjauan di sekitar Pasar Bintangor dan kawasan Pesta Meradong 2026 turut memperlihatkan keadaan jerebu yang ketara, dengan pemandangan pada jarak jauh semakin terbatas.

BACAAN terkini data IPU pada 10.00 pagi di Sarikei adalah 191.

Pesta Meradong 2026 yang sedang berlangsung ketika ini turut menjadi antara kawasan tumpuan masyarakat, manakala aktiviti di sekitar bandar Bintangor masih diteruskan meskipun keadaan persekitaran diselubungi jerebu.

Orang ramai masih keluar mendapatkan barangan keperluan dan menjalankan urusan seperti biasa.

Bagaimanapun, pemerhatian Utusan Sarawak mendapati masih terdapat individu yang tidak memakai pelitup muka ketika berada di kawasan pasar walaupun keadaan jerebu semakin ketara.

Keadaan jerebu turut menyebabkan suasana di sekitar Sarikei dan Bintangor kelihatan suram dengan bangunan pada jarak jauh hampir tidak dapat dilihat dengan jelas.

Orang ramai disaran mengikuti perkembangan bacaan IPU rasmi dari semasa ke semasa dan mengambil langkah sewajarnya ketika melakukan aktiviti di luar rumah sepanjang keadaan jerebu berterusan.

Oleh Earl Anek