KUCHING, 30 Oktober: Hampir 200 guru dan pelajar daripada tiga rombongan sekolah tempatan dan antarabangsa menyertai lawatan pendidikan ke Tegas Digital Village (TDV) bagi memperluas pendedahan terhadap bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) serta inovasi digital.
Lawatan itu melibatkan 80 guru dan pelajar dari Sekolah Kebangsaan (SK) Bawang Tian, Matu, 80 dari SK Abang Leman, Kabong serta 22 dari Sekolah Menengah Perempuan Cedar dari Singapura.
Terdahulu minggu ini, TDV turut menerima kunjungan 75 guru dan pelajar dari Sekolah Menengah Hua Yi, Singapura.
Menurut kenyataan Tegas, pendekatan pembelajaran berasaskan pengalaman yang dilaksanakan membolehkan pelajar meneroka teknologi digital dan STEM menerusi aktiviti interaktif yang merangsang kreativiti, komunikasi, kerja berpasukan serta kemahiran menyelesaikan masalah.
Katanya, aktiviti berkenaan turut memperkenalkan aplikasi inovasi dalam kehidupan seharian, sekali gus membantu pelajar memahami kepentingan penguasaan kemahiran teknologi sejak peringkat awal pendidikan.
“Pengalaman pembelajaran itu turut diperkaya menerusi penglibatan NEXTGEN Sarawak, program pembangunan kepimpinan belia Tegas yang menggalakkan penglibatan komuniti dan inovasi, serta Stinablis Sdn. Bhd., sebuah syarikat berteraskan kelestarian yang mempromosikan amalan mesra alam.
“Antara aktiviti yang dijalankan ialah bengkel kitar semula kreatif (upcycling) yang membolehkan peserta menghasilkan dompet menggunakan beg plastik terpakai, sekali gus menggabungkan elemen kreativiti dengan kesedaran terhadap kepentingan kelestarian alam sekitar,” menurut kenyataan tersebut.
Menurut kenyataan sama, Pengerusi Tegas, Datuk Len Talif Salleh menekankan kepentingan pendedahan STEM dan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) sejak peringkat awal dalam memupuk minat serta membina keupayaan generasi muda menghadapi perubahan teknologi.
Usaha berkenaan turut diperkukuh menerusi program berimpak tinggi seperti DROBOTEX yang memberi tumpuan kepada jangkauan komuniti, khususnya di kawasan luar bandar.
Melalui pendekatan kolaboratif itu, Tegas terus memperkasa bakat muda dengan kemahiran dan peluang dalam bidang STEM, teknologi digital serta inovasi, sekali gus menyumbang kepada pembangunan ekosistem ekonomi digital Sarawak selaras dengan aspirasi Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 2030 (PCDS 2030).




