SARIKEI, 30 Oktober: Fenomena hujan batu berlaku di Taman Susur Jambu, apabila ketulan ais kecil dilihat jatuh ketika hujan melanda kawasan tersebut, sebentar tadi.
Kejadian itu sempat dirakam menerusi video dan gambar yang memperlihatkan ketulan ais jernih di lokasi rumah wartawan Utusan Sarawak.
Antara rakaman yang diperoleh menunjukkan seketul ais berbentuk tidak sekata diletakkan di atas tapak tangan, sekali gus memperlihatkan keadaan hujan batu yang berlaku di kawasan terbabit.
Fenomena tersebut turut menarik perhatian kerana hujan yang turun bukan sahaja membawa titisan air, malah ketulan ais.
Sementara itu, menurut ramalan Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia), kawasan Sarikei dijangka mengalami ribut petir pada sebelah petang dan hujan pada waktu malam, hari ini.
Bagaimanapun, tempoh kejadian serta sama ada fenomena sama turut berlaku di kawasan lain sekitar Sarikei masih belum dapat dipastikan.
Setakat laporan ini ditulis, belum ada maklumat yang disahkan mengenai sebarang kerosakan atau kecederaan akibat kejadian tersebut.
Oleh Earl Anek




