Dua lelaki positif amphetamine, methamphetamine ditahan di Mukah

Facebook
WhatsApp
DITAHAN...Dua lelaki warga tempatan ditahan selepas disahkan positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine dalam operasi di kawasan Bandar Mukah, semalam.

MUKAH: Dua lelaki warga tempatan masing-masing berusia 47 dan 32 tahun ditahan selepas disahkan positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine dalam operasi di kawasan Bandar Mukah, semalam.

Kedua-dua suspek ditahan oleh sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Mukah, kira-kira 11.00 pagi.

Ketua Polis Daerah Mukah, DSP Muhamad Rizal Alias, berkata pemeriksaan awal terhadap kedua-dua suspek tidak menemukan sebarang barang salah.

Menurutnya, kedua-dua lelaki berkenaan yang berada dalam keadaan mencurigakan kemudian dibawa ke IPD Mukah untuk pemeriksaan dan tindakan lanjut.

“Hasil ujian saringan air kencing yang dijalankan mendapati kedua-dua suspek positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine,” ujarnya dalam kenyataan, semalam.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana menggunakan dadah secara salah.

“Jika sabit kesalahan, mereka boleh dikenakan denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun, selain dikenakan pengawasan polis mengikut peruntukan undang-undang berkaitan.

“Kedua-dua suspek yang bekerja sebagai buruh dan peniaga kini ditahan di lokap Balai Polis Mukah bagi membantu siasatan,” katanya.

Muhamad Rizal berkata, IPD Mukah akan terus mempergiatkan usaha membanteras kegiatan penyalahgunaan dan pengedaran dadah di daerah berkenaan.

Orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti penyalahgunaan atau pengedaran dadah boleh menghubungi Hotline IPD Mukah di talian 084-871222 atau tampil ke mana-mana balai polis berhampiran.

Oleh Akun Giman