Kes curi Yamaha 135LC selesai, suspek kedua ditahan di Kanowit

Facebook
WhatsApp
POLIS berjaya menyelesaikan satu kes kecurian motosikal Yamaha 135LC selepas menahan suspek kedua dalam satu serbuan di sebuah rumah panjang di Bejait Ulu Bawan, Kanowit. Foto IPD Saratok

SARATOK, 27 Oktober: Polis berjaya menyelesaikan kes kecurian motosikal Yamaha 135LC dengan penahanan suspek kedua dalam serbuan di sebuah rumah panjang di Bejait Ulu Bawan, Kanowit, hari ini.

Ketua Polis Daerah Saratok, DSP Mathew Manggie berkata, suspek lelaki tempatan berusia 28 tahun itu ditahan oleh sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) yang diketuai Inspektor Henry Muji, hasil maklumat dan risikan polis.

Menurut beliau, kes itu bermula pada 29 September lalu apabila pengadu berusia 52 tahun, yang bekerja sebagai buruh dan menetap di Rumah Tama, Melupa Krian, meninggalkan motosikal Yamaha 135LC miliknya yang rosak di perhentian bas Simpang Krian.

“Bagaimanapun, apabila pengadu kembali ke lokasi itu pada malam 30 September untuk mengambil motosikal berkenaan, beliau mendapati kenderaan itu telah hilang sebelum membuat laporan polis di Balai Polis Saratok,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Hasil siasatan mendapati suspek kedua mengaku terlibat dalam kegiatan mencuri motosikal itu bersama suspek pertama dan seorang lagi individu pada 30 September lalu.

Siasatan turut mendapati motosikal berkenaan diangkat dan dimasukkan ke dalam bonet sebuah kereta Perodua Axia berwarna putih milik suspek kedua sebelum dibawa ke sebuah rumah di Nanga Atoi, Awik.

“Setibanya di lokasi, motosikal itu disimpan di bahagian dapur rumah berkenaan sebelum komponennya dileraikan oleh seorang daripada suspek yang berhasrat menjadikan motosikal itu sebagai miliknya,” jelas DSP Mathew.

Beliau berkata, suspek kedua yang berasal dari Sungai Antu, Krian, Saratok, turut mengaku terlibat dalam penyalahgunaan dadah sejak kira-kira 10 tahun lalu dan tidak mempunyai pekerjaan tetap.

Menurut beliau, suspek melarikan diri ke rumah panjang milik datuknya di Kanowit selepas mengetahui dua rakannya ditahan polis.

Dalam operasi itu, polis turut merampas sebuah kereta Perodua Axia berwarna putih bersama kunci yang dipercayai digunakan dalam kegiatan berkenaan.

Sementara itu, seorang lagi individu dilaporkan sedang menjalani tahanan reman di Penjara Sri Aman bagi kes berasingan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan. Individu itu turut ditahan kerana disyaki terlibat dalam kes kecurian getah skrap di Depo Ulu Awik baru-baru ini, yang disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan.

Kes kecurian motosikal itu disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan.

Oleh Adi Safarman