17 individu ditahan dalam Ops Cegah AADK di sekitar Kuching

Facebook
WhatsApp
SERAMAI 17 individu ditahan dalam Ops Cegah Bil. 75/2026 yang dilaksanakan AADK Daerah Kuching dengan kerjasama AADK Sarawak. Foto AADK Daerah Kuching

KUCHING, 27 Oktober: Seramai 17 individu ditahan dalam Ops Cegah Bil. 75/2026 yang dilaksanakan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Daerah Kuching dengan kerjasama AADK Sarawak, semalam.

Menurut kenyataan AADK Daerah Kuching, operasi berkenaan melibatkan 16 lelaki dan seorang perempuan menerusi tindakan penguatkuasaan di beberapa lokasi sekitar daerah ini.

Antara lokasi yang menjadi tumpuan operasi ialah Kampung Bintawa, Jalan Chawan, Taman Hui Sing, Taman Sri Wangi, Matang Batu 10, Semerah Padi dan Taman Dahlia Matang serta kawasan sekitarnya.

Sepanjang operasi berkenaan, sebanyak 13 tangkapan direkodkan melibatkan keseluruhan 17 individu yang ditahan.

Kesemua individu berkenaan ditahan di bawah Seksyen 3(1) Akta Penagih dan Penyalah Guna Dadah dan Bahan 1983 (Rawatan dan Pemulihan).

AADK Daerah Kuching menegaskan komitmennya untuk terus mempergiat usaha penguatkuasaan dengan sokongan AADK Sarawak bagi membendung penyalahgunaan dadah.

Usaha berterusan itu diharap dapat membantu melindungi masyarakat daripada ancaman penyalahgunaan dadah, sekali gus mewujudkan persekitaran yang lebih selamat dan sejahtera.

Oleh Adi Safarman