LAWAS: Polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, dengan kerjasama Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lawas, berjaya menahan seorang lelaki tempatan berusia 22 tahun yang dipercayai sedang membawa keluar bungkusan disyaki mengandungi bahan terlarang.
Penahanan dilakukan pada 24 Ogos 2026 pada 3.45 petang di sebuah syarikat perkhidmatan kurier di Lawas.
Ketua Polis Daerah Lawas, DSP Liong Tindan, menerusi satu kenyataan hari ini berkata, bungkusan yang dibawa lelaki berkenaan telah dirampas, manakala suspek ditahan untuk siasatan lanjut.
“Saringan awal air kencing terhadap suspek mendapati keputusan negatif dadah. Hasil pemeriksaan terhadap bungkusan berkenaan, polis menemui bahan disyaki dadah jenis syabu seberat kira-kira 661 gram, dengan nilai dianggarkan RM33,050.
“Semakan rekod kesalahan lampau mendapati suspek tidak mempunyai rekod kesalahan. Suspek disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952,” katanya.
Bertindak berdasarkan maklumat daripada suspek, polis menyerbu sebuah rumah di Jalan Ba’kelalan pada 24 Ogos 2026, kira-kira 5.30 petang, dan menahan seorang lelaki tempatan berusia 54 tahun yang bekerja sendiri.
Turut dirampas ialah dua paket plastik yang disyaki mengandungi dadah jenis syabu dengan anggaran berat keseluruhan 9.42 gram.
“Saringan awal air kencing mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamine (AMP). Semakan rekod kesalahan lampau mendapati suspek mempunyai lima rekod kesalahan,” katanya.
Suspek disiasat mengikut seksyen 39B ADB 1952, seksyen 39A(1) ADB1952 dan seksyen 15(1)(a) ADB 1952.
Seterusnya pihak polis telah menahan seorang suspek wanita berusia 47 tahun, disyaki terlibat dengan kes yang disiasat dibawah seksyen 39B ADB 1952.
Saringan awal air kencing ke atas suspek mendapati positif Meth dan Amp. Semakan kesalahan lampau mendapati tiada kesalahan lampau. Suspek disiasat mengikut seksyen 39B ADB 1952 dan seksyen 15(1)(a) ADB 1952.
Oleh Adeng Edrus





