KUCHING, 10 November: Empat lelaki tempatan berusia antara 31 hingga 41 tahun ditahan dalam operasi Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak di Semariang Baru, Petra Jaya, pada 8 November lalu.
Penahanan kira-kira 9.00 malam itu turut membawa kepada rampasan dadah disyaki methamphetamine seberat 7.13 gram yang dianggarkan bernilai RM356.
Ketua Polis Daerah Kuching ACP Alexson Naga Chabu berkata hasil ujian saringan awal air kencing mendapati kesemua suspek positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine.
Semakan rekod jenayah pula mendapati dua suspek masing-masing berusia 31 dan 34 tahun mempunyai tiga rekod jenayah lampau, manakala seorang lagi suspek berusia 41 tahun mempunyai satu rekod.
Seorang suspek berusia 33 tahun didapati tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau.
Kesemua suspek direman selama empat hari bermula 10 hingga 13 November bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Jika sabit kesalahan, mereka boleh dikenakan hukuman penjara antara dua hingga lima tahun serta sebatan antara tiga hingga sembilan kali.
Alexson berkata kejayaan tangkapan itu adalah hasil risikan berterusan serta kerjasama orang awam.
Beliau menegaskan PDRM tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terbabit dalam kegiatan pengedaran dadah, selain mengingatkan bahawa memiliki, mengedar atau melindungi kegiatan berkaitan dadah merupakan kesalahan serius di sisi undang-undang.
Katanya, pihak polis komited memerangi dadah demi melindungi generasi masa kini dan akan datang, sambil menyifatkan dadah sebagai musuh nombor satu negara.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kegiatan dadah boleh menghubungi talian hotline Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman di 012-208 7222 atau hotline JSJN IPK Sarawak di 017-592 9211.
Oleh Connie Chieng




