Dua lelaki ditahan memandu bawah pengaruh alkohol 

Facebook
WhatsApp
SEKATAN jalan raya sempena Operasi Mabuk oleh Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Kuching di Jalan Tabuan, Kuching, pada 6 November lalu. Foto PDRM

KUCHING, 8 November: Dua lelaki berusia 20 dan 30 tahun ditahan kerana disyaki memandu di bawah pengaruh alkohol dalam Operasi Mabuk di Jalan Tabuan, di sini, pada 6 November lalu.

Operasi yang dijalankan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching bermula kira-kira 11.30 malam itu turut menyaksikan pemeriksaan terhadap 45 individu dan 32 kenderaan.

Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Alexson Naga Chabu dalam kenyataan berkata, seramai seorang pegawai kanan dan 11 anggota polis terlibat dalam operasi berkenaan.

Hasil operasi itu, sebanyak 17 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan lalu lintas, selain penahanan dua lelaki terbabit.

Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 45A(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Dalam pada itu, polis mengingatkan orang ramai supaya sentiasa mematuhi undang-undang jalan raya dan tidak memandu di bawah pengaruh alkohol kerana perbuatan itu boleh membahayakan diri sendiri serta pengguna jalan raya lain.

Oleh Afiq Sallehi