Rakyat Malaysia ditahan bawa dadah di Brunei miliki dua rekod jenayah

Facebook
WhatsApp
LELAKI tempatan yang ditahan di Pos Kawalan Sungai Tujoh, Belait bersama lebih 100 kilogram dadah disyaki syabu. Foto JKED/BKN

KUALA LUMPUR, 8 November: Lelaki warga Malaysia yang ditahan pihak berkuasa Brunei bersama-sama lebih 100 kilogram (kg) dadah disyaki syabu di Pos Kawalan Sungai Tujoh, sempadan Brunei-Miri, Sarawak pada 31 Oktober lepas didapati mempunyai dua rekod jenayah lampau.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman Datuk Hussein Omar Khan berkata lelaki berusia 46 tahun yang berasal dari Miri itu dipercayai dalam perjalanan ke Sabah ketika ditahan.

Beliau berkata pihaknya menerima maklumat daripada Biro Kawalan Narkotik (BKN) Brunei berhubung penahanan lelaki berkenaan bersama-sama dadah disyaki syabu seberat kira-kira 100 kg, yang dianggarkan bernilai RM5 juta.

“Berdasarkan maklumat daripada BKN Brunei lelaki terbabit ditahan ketika memasuki negara itu dari Miri, Sarawak dan dipercayai menggunakan laluan di negara berkenaan sebagai transit sebelum masuk semula ke Malaysia,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Hussein berkata siasatan awal mendapati suspek dijangka meneruskan perjalanan melalui Kuala Belait, Seria, Tutong, dan Bandar Seri Begawan sebelum menuju ke Temburong melalui Jambatan Sultan Haji Omar Ali Saifuddien.

Beliau berkata lelaki itu dipercayai memasuki semula Sarawak melalui laluan Labu-Mengkalap sebelum meneruskan perjalanan ke Sabah melalui Merapok-Sindumin.

“JSJN akan meneruskan kerjasama risikan dengan BKN Brunei untuk mengenal pasti sumber bekalan dadah dan kemungkinan kaitannya dengan rangkaian sindiket di Malaysia,” katanya.

Terdahulu, pihak berkuasa Brunei melaporkan rampasan 102.19 kg syabu yang disembunyikan dalam 100 bungkusan teh di Pos Kawalan Sungai Tujoh, sempadan Brunei-Miri, Sarawak dianggarkan bernilai kira-kira BND2.8 juta, dan menjadi rampasan dadah terbesar pernah direkodkan di pos kawalan berkenaan.

Selain syabu, pihak berkuasa Brunei turut merampas empat pil Erimin 5, wang tunai RM1,180, SGD10, BND10 dan 500 baht, dua telefon bimbit, serta sebuah kenderaan yang dipercayai digunakan dalam kegiatan berkenaan. – Bernama