MELAKA, 10 November: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyasarkan sehingga 95 peratus pengundi keluar menunaikan tanggungjawab mereka, pada hari pengundian awal Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16 hari ini.
Pengerusi SPR Datuk Seri Ramlan Harun berkata setakat jam 10.35 pagi ini, sejumlah 53.25 peratus atau bersamaan 5,286 orang pengundi awal, telah keluar mengundi di 31 pusat mengundi yang melibatkan 50 saluran.
Beliau berkata 19 saluran mengundi awal yang tidak mempunyai ramai pengundi, akan ditutup pada tengah hari ini, manakala selebihnya akan ditutup secara berperingkat pada 2.00 dan 5.00 petang, hari ini.
“Pada hari ini sebanyak 9,769 anggota tentera dan 2,762 anggota polis akan terlibat dalam proses pengundian awal ini, dengan jumlah keseluruhan sebanyak 12,531 pengundi,” katanya.
Ramlan berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas hadir meninjau proses pengundian awal PRN Melaka ke-16, di Sekolah Menengah Kebangsaan Kem Terendak di Sungai Udang di sini hari ini.
Dalam perkembangan berkaitan, Ramlan berkata SPR telah menerima sebanyak 237 laporan berkaitan kesalahan pilihan raya, sepanjang tempoh berkempen yang bermula selepas penamaan calon pada 31 Oktober lepas.
“Kesalahan itu antara lain berkaitan kesalahan kecil di bawah peraturan pilihan raya, yang berlaku ketika berkempen melibatkan isu seperti bendera parti bertanding dan bahan kempen.
“Selain itu semuanya baik dan lancar tanpa sebarang insiden besar dilaporkan dan saya harap trend ini akan berterusan sepanjang baki tempoh kempen dan saya seru semua agar terus berhemah, tertib dan tidak menimbulkan sebarang gangguan,” katanya.
Sebanyak 79 calon mewakili pelbagai parti dan gabungan politik serta calon Bebas, layak bertanding pada PRN Melaka kali ini.
SPR menetapkan 14 November sebagai hari pengundian PRN Melaka, manakala pengundian awal berlangsung hari ini.
Dapatkan berita terkini PRN Melaka ke-16, di https://election.bernama.com/prn/melaka/2026 – Bernama




