KUCHING, 10 November: Ahli Parlimen Stampin, Chong Chieng Jen, meminta penjelasan berhubung 10 soalan yang dikemukakannya kepada Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, 14 hari sebelum persidangan bermula, namun mendakwa belum menerima sebarang maklum balas sehingga kini.
Chong, yang juga penyandang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padungan, membangkitkan perkara itu pada sidang media bersama ADUN Pending, Violet Yong dan Ahli Parlimen Kuching, Dr Kelvin Yii, hari ini.
Soalan berkenaan merangkumi pelbagai isu berkaitan perbelanjaan kerajaan negeri, projek pembangunan utama, pelaburan, operasi pelabuhan, infrastruktur dan dasar pendidikan.
Antara isu yang dibangkitkan termasuk kos pembinaan dan perbelanjaan operasi Kompleks Satria Pertiwi, sasaran pengeluaran baharu projek hidrogen negeri, perbelanjaan berkaitan penggunaan jet peribadi Dassault Falcon 8X, pelaburan asing yang belum direalisasikan, ketidakseimbangan jumlah kargo di Pelabuhan Senari serta cadangan menaik taraf dan memperluas Jalan Stutong Link.
Isu lain turut melibatkan kehadiran kontraktor asing di Sarawak, kelewatan kapal mendapatkan tempat berlabuh di Pelabuhan Senari serta cadangan memperluas inisiatif Pendidikan Tinggi Percuma Sarawak (FTES) kepada pelajar Sarawak yang melanjutkan pengajian di universiti awam dan swasta lain.
Chong berkata, soalan-soalan tersebut dikemukakan dalam tempoh yang ditetapkan bagi mendapatkan penjelasan mengenai perkara yang mempunyai kepentingan kepada orang awam.
Beliau mendakwa, walaupun DUN telah dibubarkan, pihaknya masih belum menerima sebarang maklum balas terhadap perkara yang dibangkitkan, sekali gus mempersoalkan mengapa kerajaan negeri tidak memberikan penjelasan ketika persidangan masih berlangsung.
Menurutnya, isu-isu berkenaan wajar diberikan perhatian kerana melibatkan perbelanjaan wang awam, pembangunan ekonomi serta dasar yang memberi kesan kepada rakyat Sarawak.
Oleh Connie Chieng




