Sarawak akhiri Sukma XXII di tempat keempat dengan 41 emas

Facebook
WhatsApp

SHAH ALAM: Kontinjen Sarawak menamatkan cabaran Sukan Malaysia (Sukma) XXII Selangor 2026 di kedudukan keempat keseluruhan selepas mengumpul 41 pingat emas, 40 perak dan 62 gangsa untuk keseluruhan 143 pingat.

Kedudukan itu menyaksikan Sarawak terpaksa akur terlepas peluang untuk menamatkan temasya di tempat ketiga selepas Terengganu mengumpul 43 emas, 44 perak dan 36 gangsa dengan keseluruhan 123 pingat

Sarawak sebelum ini masih berpeluang memintas Terengganu pada hari terakhir selepas hanya dipisahkan dua emas, namun kedudukan berkenaan akhirnya kekal sehingga saingan ditutup.

Selangor muncul juara keseluruhan dengan 101 emas, 73 perak dan 71 gangsa, manakala Wilayah Persekutuan menduduki tempat kedua dengan 51 emas, 54 perak dan 52 gangsa.

Pulau Pinang pula berada di tempat kelima dengan 39 emas, 55 perak dan 62 gangsa.

Walaupun gagal mempertahankan kejuaraan, pencapaian Sarawak kali ini tetap memperlihatkan kontinjen itu berada dalam kelompok empat terbaik temasya, selain berjaya mengumpul lebih 140 pingat.

Pada edisi sebelumnya, ketika menjadi tuan rumah Sukma ke-21 di Sarawak pada 2024, kontinjen negeri itu menamatkan penantian 30 tahun untuk kembali muncul juara keseluruhan dengan kutipan 76 emas, 55 perak dan 70 gangsa, membabitkan keseluruhan 201 pingat.

Berbanding pencapaian dua tahun lalu, Sarawak kali ini mengumpul 35 emas lebih rendah, selain keseluruhan pingat berkurang 58.

Namun, beberapa sukan terus menjadi penyumbang utama kepada kutipan emas Sarawak di Selangor.

Sukan terjun menjadi penyumbang emas terbesar dengan lapan emas, diikuti taekwondo yang menghadiahkan empat emas.

Memanah dan boling tenpin masing-masing menyumbang tiga emas, manakala menembak, pelayaran, berbasikal trek, polo air dan olahraga turut menyumbang lebih daripada satu emas.

Sarawak turut meraih emas menerusi renang, karate, wushu, gimnastik artistik, lawan pedang, Muay Thai, berbasikal jalan raya, e-sukan, petanque, silambam, bola tampar, judo dan pingpong.

Antara kejayaan yang mencuri perhatian termasuk prestasi kukuh skuad terjun, selain pencapaian atlet dalam sukan tempur dan beberapa sukan berpasukan yang membantu Sarawak kekal dalam kelompok empat terbaik.

Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, sebelum ini turut mengakui masih banyak ruang yang perlu diperbaiki selepas temasya kali ini, khususnya dari segi strategi penyertaan dalam acara yang menawarkan jumlah pingat emas yang banyak.

Beliau berkata, sesi post mortem akan dilakukan selepas kontinjen kembali ke Kuching bagi menilai prestasi setiap sukan dan mengenal pasti pendekatan yang boleh digunakan untuk meningkatkan pencapaian pada Sukma akan datang.

Dalam masa sama, Abdul Karim menyifatkan semangat perpaduan seluruh kontinjen Sarawak sepanjang temasya sebagai antara perkara paling membanggakan.

Katanya, walaupun Sarawak tidak muncul juara, semangat kebersamaan yang ditunjukkan atlet, pegawai dan penyokong di setiap venue membuktikan kekuatan kontinjen negeri itu.

“Kita mungkin bukan juara, tetapi apabila bercakap mengenai perpaduan dan kekuatan bersama, kita boleh anggap diri kita sebagai juara,” katanya.

Dengan berakhirnya saingan di Selangor, Sarawak kini perlu kembali ke Kuching dengan menjadikan pencapaian 41 emas, 40 perak dan 62 gangsa sebagai asas untuk melakukan penilaian menyeluruh serta merangka strategi lebih agresif bagi memburu kejuaraan pada edisi Sukma akan datang.

Oleh Shahrul Qaizat