Pembangunan Kampung Assyakirin perlu berterusan ikut keperluan penduduk

Facebook
WhatsApp
JOHNNY Pang bergambar bersama penduduk pada Program Santai Petang Bersama YB Johnny Pang di Kampung Assyakirin Fasa 3, Bintulu.

BINTULU, 25 Oktober: Pembangunan Kampung Assyakirin Fasa 3 perlu diteruskan mengikut keperluan semasa penduduk, termasuk penambahbaikan jalan raya, sistem saliran dan kemudahan awam.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Batu, Johnny Pang Leong Ming berkata, walaupun beberapa kemudahan seperti balai raya, pusat komuniti, dewan serbaguna dan pintu masuk kampung telah diberi perhatian, keperluan lain masih perlu dikenal pasti dan diteliti dari semasa ke semasa.

Menurutnya, kerjasama dengan ketua kampung, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) serta agensi berkaitan akan diteruskan bagi mengenal pasti keutamaan pembangunan dan memastikan keperluan penduduk diberi perhatian.

“Pembangunan komuniti bukan sesuatu yang selesai selepas satu atau dua projek.

JOHNNY Pang melihat penduduk menjalani pemeriksaan kesihatan pada program berkenaan di Bintulu.

“Ia perlu diteruskan mengikut keperluan penduduk,” katanya ketika berucap pada Program Santai Petang Bersama YB Johnny Pang di Kampung Assyakirin Fasa 3, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Johnny Pang menegaskan bahawa khidmat kepada rakyat perlu diberikan secara berterusan dan tidak hanya tertumpu pada tempoh tertentu, termasuk menjelang pilihan raya.

Beliau berkata, masalah yang dihadapi penduduk boleh timbul pada bila-bila masa. Oleh itu, wakil rakyat perlu sentiasa bersedia mendengar aduan, meneliti keperluan dan mengambil tindakan susulan.

Menurutnya, pendekatan itu penting bagi memastikan pembangunan serta penyampaian perkhidmatan kepada masyarakat sentiasa selaras dengan keperluan semasa penduduk.

Oleh Carolyne Utih