Penyerang Liverpool, Isak sudah jangka berdepan sambutan dingin, kata Iraola

Facebook
WhatsApp
PENYERANG Sweden Liverpool, Alexander Isak (tengah) ketika aksi Liga Perdana Inggeris antara Newcastle United dan Liverpool. (AFP)

NEWCASTLE: Andoni Iraola menegaskan Alexander Isak tidak terkesan dengan sambutan bermusuhan penyokong Newcastle walaupun mempamerkan aksi kurang menyerlah ketika seri 2-2 di St James’ Park, semalam.

Isak menjadi sasaran sorakan boo yang bergema kuat dan dilabel “tamak” menerusi laungan berunsur lucah yang berulang kali kedengaran daripada penyokong Newcastle ketika penampilan pertamanya kembali ke Tyneside selepas menyertai Liverpool tahun lalu.

Satu terjahan keras Lewis Hall yang menyebabkan Isak mengerang kesakitan di atas padang turut disambut sorakan hampir sama kuat dengan reaksi terhadap gol Newcastle.

Perpindahan kontroversi bintang Sweden itu ke Anfield dengan nilai £125 juta (AS$170 juta) menjadi hambar musim lalu apabila dia bergelut dengan kecederaan dan prestasi buruk.

Berdasarkan penyudah mengecewakan dan persembahannya yang hambar menentang Newcastle, masih belum pasti Isak mampu membuktikan nilai perpindahannya yang tinggi musim ini.

Bagaimanapun, Liverpool berjaya menyelamatkan keputusan seri dalam perlawanan pertama Iraola sebagai pengurus baharu, walaupun Isak bergelut mencari rentak.

Pengendali baharu The Reds itu berkata, pemain berusia 26 tahun berkenaan sememangnya menjangkakan sambutan tanpa belas kasihan daripada penyokong Newcastle.

“Saya fikir dia memang menjangkakan suasana seperti itu dan ia bukan sesuatu yang mengejutkannya.

“Dia sudah mencuba segala-galanya, memberi kami posisi yang baik ketika menguasai bola dan mempunyai beberapa peluang untuk melakukan penyudah di dalam kotak penalti, walaupun bukan peluang paling jelas.

“Namun, saya menghargai sikapnya yang terus berusaha dan berjuang,” katanya.

Dengan kelemahan pertahanan yang menghantui Liverpool musim lalu kembali terserlah, pasukan itu hampir membuka era Iraola dengan kekalahan apabila hanya beberapa saat berbaki.

Anthony Elanga meletakkan Newcastle di depan pada awal permainan sebelum Cody Gakpo menyamakan kedudukan sejurus selepas separuh masa.

“Perasaan bercampur-baur”

Joe Willock yang baru masuk sebagai pemain gantian kemudian menjaringkan gol untuk mengembalikan kelebihan Newcastle.

Namun, terjahan cuai Hall terhadap Victor Munoz pada masa kecederaan membawa kepada sepakan penalti yang disempurnakan Dominik Szoboszlai dengan rembatan kencang ke penjuru atas gawang.

Iraola, yang dilantik dari Bournemouth bagi menggantikan Arne Slot yang dipecat pada akhir musim, menarik nafas lega.

“Kami menjaringkan gol pada penghujung permainan, jadi mungkin rasanya lebih baik. Tetapi sebelum perlawanan, kami tentu tidak akan bersetuju dengan keputusan ini,” katanya.

Pengurus baharu Newcastle, Matthias Jaissle pula kesal dengan keputusan “lembut” yang menyebabkan pasukannya terlepas kemenangan dalam aksi pembukaan musim.

Jaissle, yang dilantik selepas peletakan jawatan mengejut Eddie Howe pada awal Ogos, mengakui mempunyai perasaan bercampur-baur selepas perlawanan pertamanya mengendalikan pasukan itu.

“Memang ia perlawanan dengan perasaan bercampur-baur, terutama pada penghujung apabila keputusan dibuat dan kami kehilangan dua mata. Ia sangat sukar diterima.

“Bagi saya, ia penalti yang sangat lembut. Jika penalti seperti ini diberikan, maka banyak lagi penalti perlu diberikan sepanjang musim,” katanya.

Bagaimanapun, Jaissle turut berbangga dengan persembahan Newcastle yang menguasai Liverpool untuk tempoh panjang walaupun tanpa bintang yang cedera, Dan Burn dan Joelinton.

“Ini sesuatu yang istimewa. Kami sudah menunjukkan prestasi pada tahap tinggi dan ia membuatkan kami bangga. Kami mempunyai asas yang sangat baik untuk dibangunkan,” katanya. – AFP