Abdul Karim mahu Sarawak beri lebih fokus kepada sukan akuatik

Facebook
WhatsApp
DATO Sri Abdul Karim Rahman Hamzah ketika berucap pada majlis makan malam santai bersama Ketua Kontinjen (CDM) dan Timbalan Ketua Kontinjen bagi setiap sukan di sebuah hotel terkemuka di Shah Alam, malam tadi.

SHAH ALAM: Sarawak perlu memberi perhatian lebih besar kepada sukan akuatik pada Sukan Malaysia (Sukma) akan datang susulan jumlah acara dan pingat emas yang banyak ditawarkan dalam sukan berkenaan kata Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah.

Beliau berkata, berdasarkan pengalamannya mengikuti perkembangan Sukma sejak sekian lama, prestasi dalam sukan akuatik khususnya renang sering menjadi antara penentu penting kepada kedudukan sesebuah kontinjen dalam pungutan pingat keseluruhan.

“Saya sudah lama terlibat dengan Sukma dan saya perhatikan sukan akuatik, khususnya renang, adalah antara sukan penting.

“Biasanya, apabila kita menang dalam sukan akuatik, kita akan memenangi Sukmakerana terlalu banyak acara dan pingat emas di situ.

“Sebab itu kita perlu memberi sedikit lebih fokus kepada sukan akuatik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis makan malam santai bersama Ketua Kontinjen (CDM) dan Timbalan Ketua Kontinjen bagi setiap sukan di sebuah hotel terkemuka di Shah Alam, malam tadi.

Abdul Karim turut melihat keperluan untuk memperkukuh aspek kejurulatihan dengan mengambil kira kepakaran khusus dalam setiap disiplin.

Menurutnya, Sarawak mungkin perlu membawa masuk lebih ramai jurulatih yang mempunyai kepakaran berbeza, termasuk bagi acara jarak jauh, jarak dekat dan pecut.

Beliau turut memberi contoh sukan menembak apabila seorang atlet Pahang mampu menyumbang sehingga sembilan pingat emas pada temasya kali ini.

“Perkara seperti itu mungkin kita perlu lihat semula, apa yang tidak kena dan bagaimana kita boleh memperbaiki diri untuk SUKMA akan datang,” katanya.

Dalam pada itu, Abdul Karim menyifatkan semangat perpaduan yang ditunjukkan seluruh kontinjen Sarawak sepanjang temasya kali ini sebagai sesuatu yang amat membanggakan.

Beliau berkata, semangat kebersamaan itu dapat dilihat sejak kontinjen meninggalkan Sarawak sehingga ke venue pertandingan, termasuk ketika memberikan sokongan kepada atlet dalam setiap acara.

“Kita mungkin bukan juara, tetapi apabila bercakap mengenai perpaduan dan kekuatan bersama, kita boleh anggap diri kita sebagai juara.

“Lihat sahaja ketika bola tampar hari ini. Kita begitu rapat bersama, penyokong dan semuanya. Itulah yang membuatkan kita rasa bangga,” katanya.

Oleh Shahrul Qaizat