Liverpool, Man City berdepan persoalan dalam era baharu tanpa Salah, Guardiola

Facebook
WhatsApp
MOHAMED Salah.

LONDON, United Kingdom: Mohamed Salah dan Pep Guardiola ialah antara tokoh paling ikonik dalam sejarah Liga Perdana Inggeris.

Cara Liverpool dan Manchester City mengharungi ketiadaan mereka bakal menentukan perjalanan musim masing-masing.

Buat kali pertama sejak 2016, Liverpool memulakan kempen tanpa penyerang Mesir, Salah sebagai tonggak utama, manakala City tidak lagi dapat bergantung pada kepakaran Guardiola dalam mengurus pasukan selepas sedekad gemilang.

Salah menyertai kelab Turkiye, Trabzonspor pada awal Ogos, sekali gus menamatkan kariernya di Anfield sebagai antara pemain terhebat dalam sejarah Liverpool.

Guardiola pula meletakkan jawatan pada penghujung musim lalu, sekali gus menutup tirai era paling berjaya dalam sejarah City.

Kini, Liverpool dan City memulakan era baharu tanpa kedua-dua ikon berkenaan ketika musim Liga Perdana Inggeris bermula.

PEP Guardiola.

City akan menentang Bournemouth di laman sendiri pada Ahad dalam perlawanan liga pertama Enzo Maresca sebagai pengganti Guardiola.

Beberapa jam kemudian, pengurus baharu Liverpool, Andoni Iraola akan membariskan pasukan tanpa Salah apabila The Reds bertandang ke Newcastle.

Ketidakpastian mengenai prospek City dan Liverpool musim ini bukan sahaja berpunca daripada kehilangan Guardiola dan Salah, tetapi juga pergolakan yang mendahului perpisahan penuh emosi mereka pada Mei lalu.

Guardiola memenangi enam kejuaraan Liga Perdana Inggeris dan membantu City meraih trofi Liga Juara-Juara Eropah pertama mereka, selain 20 trofi lain selepas mengambil alih pasukan itu pada 2016.

Pengendali berusia 55 tahun itu turut menjulang Piala FA dan Piala Liga pada musim terakhirnya, namun meninggalkan City selepas kelab itu kehilangan kedudukan sebagai kuasa utama bola sepak England apabila gagal memenangi kejuaraan dalam dua musim terakhirnya.

Guardiola mengakui beliau bergelut untuk mendapatkan tenaga yang diperlukan bagi memimpin cabaran City terhadap Arsenal musim lalu, dengan The Gunners akhirnya menamatkan saingan tujuh mata di depan untuk muncul juara.

Pemergian pengarah bola sepak yang dipercayainya, Txiki Begiristain pada 2025 turut menyebabkan Guardiola merasakan bahawa “sebahagian daripada diri saya pergi”.

Dengan City turut berdepan pertuduhan Persatuan Bola Sepak England (FA) berkaitan dakwaan pelanggaran kewangan satu isu berpanjangan yang masih belum menemui penyelesaian Guardiola merasakan beliau perlu terus setia kepada kelab itu.

Namun, beliau dilihat semakin keletihan dengan tekanan untuk membina semula skuad yang memerlukan tenaga baharu selepas beberapa tonggak utama, termasuk Kevin De Bruyne, Ederson, Kyle Walker dan Riyad Mahrez, meninggalkan kelab itu dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

Bakat Generasi

Usaha City membina semula pasukan dengan perbelanjaan besar hanya membuahkan kejayaan sebahagian, sekali gus meninggalkan bekas pengendali Chelsea, Maresca dengan tugas berat untuk meneruskan legasi Guardiola.

Pengendali dari Itali itu mengenali City dengan baik selepas pernah menjadi pembantu Guardiola ketika mereka memenangi tiga trofi pada musim 2022-23.

Namun, pengalaman Maresca sebagai pengurus masih terhad selepas kurang daripada dua musim bersama Chelsea, setahun di divisyen kedua bersama Leicester dan tempoh singkat di Parma.

Rekod kerjaya pengendali berusia 46 tahun itu jauh berbeza berbanding pengalaman Guardiola yang sarat dengan trofi bersama Barcelona dan Bayern Munich sebelum berpindah ke Manchester.

Hanya 56 kilometer dari situ di sepanjang East Lancashire Road, Liverpool juga mengorak langkah berhati-hati memasuki musim pertama dalam era selepas Salah.

Ketika Salah menyertai Liverpool dari Roma dengan yuran perpindahan £36 juta pada 2017, tidak ramai yang menjangka kejayaan yang bakal dicapainya.

Salah gagal menyerlah ketika bersama Chelsea, namun beliau terus memberi impak selepas menyertai Liverpool.

Pemain berusia 34 tahun itu menjaringkan 257 gol dalam 442 penampilan untuk Liverpool dalam semua pertandingan, sekali gus muncul sebagai penjaring terbanyak ketiga dalam sejarah kelab.

Beliau mencipta pelbagai detik menakjubkan ketika membantu Liverpool memenangi dua kejuaraan Liga Perdana Inggeris, Liga Juara-Juara Eropah, Piala FA dan Piala Liga.

Namun, pengakhiran karier Salah bersama Liverpool berlangsung dengan penuh kontroversi.

Beliau beberapa kali digugurkan oleh Arne Slot musim lalu dan menuduh kelab itu “mengorbankannya”.

Hubungan Salah dengan Slot tidak pernah pulih sepenuhnya dan beliau hanya menjaringkan tujuh gol liga ketika Liverpool menamatkan saingan di tempat kelima sebelum pengendali dari Belanda itu dipecat.

Menggantikan bakat generasi seperti Salah memerlukan lebih daripada seorang pemain.

Iraola berharap penyerang Sweden, Alexander Isak dapat meningkatkan prestasinya selepas musim pertama yang dibelenggu kecederaan di Anfield, manakala pemain baharu, Victor Munoz dan pemain remaja Rio Ngumoha turut diletakkan harapan tinggi.

Namun, sekeras mana sekalipun mereka berusaha, Liverpool mahupun City tidak akan pernah benar-benar sama tanpa dua ikon yang mencorakkan era masing-masing itu. – AFP