Dua bulan tinggalkan sekolah, Belda tebus pengorbanan dengan emas

Facebook
WhatsApp
BELDA Chan Zhi Yi, bergambar bersama pingat emasnya selepas majlis penyampaian pingat acara Nandao & Nangun Wanita di Pusat Konvensyen Ideal, di Shah Alam, hari ini.

SHAH ALAM: Pengorbanan meninggalkan keluarga dan pelajaran selama dua bulan untuk menjalani latihan intensif akhirnya terbalas apabila atlet wushu Sarawak, Belda Chan Zhi Yi, menukar perak kepada emas pada Sukan Malaysia (Sukma) XXII Selangor 2026, hari ini.

Atlet berusia 16 tahun dari Kuching itu muncul juara acara Nandao & Nangun Wanita selepas merekodkan mata tertinggi 19.109, mengatasi wakil Melaka, Kai Xin Wong, yang meraih perak dengan 18.783 mata.

Pingat gangsa pula menjadi milik atlet Perak, En Qian Choh, yang mengumpul 18.686 mata.

Kejayaan di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) itu cukup bermakna buat Belda yang memperbaiki pencapaian pada Sukma 2024 di Sarawak apabila sekadar meraih pingat perak ketika itu.

Belda berkata, kejayaan berkenaan menjadi ganjaran paling manis selepas terpaksa berkorban masa bersama keluarga dan meninggalkan persekolahan bagi memberi tumpuan sepenuhnya kepada persiapan menghadapi Sukma.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada jurulatih, ayah dan ibu kerana menyokong kerjaya saya dalam sukan ini.

“Saya sangat gembira dapat memenangi pingat emas. Saya berlatih selama dua bulan dan terpaksa meninggalkan sekolah, tetapi semuanya berbaloi selepas kemenangan ini,” katanya ketika ditemui selepas pertandingan.

Menurut pelajar Sekolah Menengah Chung Hua No. 1 itu, beliau menjalani latihan di China selama sebulan bermula hujung Jun lalu sebagai persiapan memperkemaskan teknik serta meningkatkan keyakinan sebelum menghadapi saingan di Selangor.

Namun, pengorbanan terhadap pelajaran tidak ditinggalkan begitu sahaja apabila Belda turut membahagikan masa untuk belajar di rumah selepas menjalani latihan.

“Saya berlatih pada sebelah pagi dan petang, manakala belajar pada sebelah malam di rumah.

“Saya berlatih selama dua hingga tiga jam pada sebelah pagi dan petang,” katanya.

Belda yang mula menceburi wushu sejak berusia tujuh tahun itu berkata pengalaman melalui tempoh persiapan yang panjang turut membantunya lebih bersedia dari segi mental untuk menghadapi tekanan pertandingan.

Sementara itu, jurulatih Sarawak, Diana Bong, menyifatkan Belda sebagai atlet yang komited serta mempunyai disiplin dan sikap yang baik sepanjang menjalani latihan.

Katanya, peningkatan yang ditunjukkan Belda sejak penampilan pertamanya di Sukma amat ketara, khususnya dari segi teknik, pergerakan dan keupayaan mengawal tekanan.

“Ini kali kedua beliau menyertai Sukma dan kami sangat gembira serta bangga kerana akhirnya beliau berjaya.

“Sebelum ini, dia kurang baik dari segi pergerakan berkuasa dan lompatan serta kurang yakin. Tetapi kali ini, dia menunjukkan peningkatan yang tinggi dari segi teknik dan kebolehan menyerap tekanan serta menghadapi sesuatu yang berlaku secara tiba-tiba,” katanya.

Kejayaan itu sekali gus membuktikan pengorbanan Belda meninggalkan rutin persekolahan dan keluarga selama dua bulan tidak sia-sia apabila usaha kerasnya akhirnya diterjemahkan kepada kilauan emas buat Sarawak.

Oleh Shahrul Qaizat