DUN: Abang Johari kongsi kejayaan anak Sarawak bukti peluang terbuka tanpa mengira kaum, latar belakang

Facebook
WhatsApp
DATUK Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg ketika menyampaikan ucapan penggulungan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2027 di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak ke-19 hari ini.

PETRA JAYA, 21 Oktober: Dasar pembangunan inklusif kerajaan Sarawak terus membuka ruang kepada anak negeri daripada pelbagai latar belakang untuk menikmati peluang pendidikan, meningkatkan taraf hidup dan membina kerjaya, tanpa mengira kaum, agama atau kedudukan ekonomi keluarga.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, bantuan dan peluang pembangunan yang disediakan kerajaan negeri bertujuan memastikan tiada anak Sarawak ketinggalan, tanpa mengira kaum, agama atau kedudukan ekonomi keluarga.

Dalam ucapan penggulungannya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak hari ini, beliau mengetengahkan kisah penerima pelbagai inisiatif kerajaan negeri, daripada bantuan sejak kelahiran hingga pendidikan tinggi dan peluang membina kerjaya.

“Bantuan ini diberikan kepada setiap keluarga Sarawak, tanpa mengira kaum, agama atau pendapatan.

“Sama ada seorang anak dilahirkan di kawasan luar bandar atau di bandar, setiap anak Sarawak menerima manfaat yang sama,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2027 di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak ke-19 hari ini.

Antara contoh yang diketengahkan ialah Gloria Dau Aju, pelajar Kayan dari Uma Belor, Belaga, yang sedang mengikuti pengajian Sarjana Muda Pengurusan Teknologi di Universiti Teknologi Sarawak (UTS).

Turut menerima manfaat Skim Pendidikan Tinggi Percuma Sarawak (FTES) ialah Priska Emban Kenedy, pelajar Iban dari Rumah Uri, Bebuling Atas, Spaoh, yang mengikuti pengajian Sarjana Muda Sains Agroteknologi di i-CATS University College.

PRISKA Emban Kenedy, pelajar Iban dari Rumah Uri, Bebuling Atas, Spaoh.

Syaza Irwani Adriana Mohd Qushairi pula mengikuti pengajian Sarjana Muda Pengkomputeran di Universiti Curtin, manakala Terry Lin Zhen Bin, lepasan Sekolah Menengah Pei Min di Miri yang memiliki kelayakan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC), memulakan pengajian Sarjana Muda Sains Komputer di Universiti Swinburne menerusi skim sama.

Menurut Abang Johari, seramai 6,246 anak Sarawak sedang mengikuti pengajian dalam 64 program di bawah FTES tahun ini, dengan lebih separuh daripada mereka berasal daripada keluarga berpendapatan rendah dan menerima RM15,000 setahun bagi menampung kos sara hidup.

Beliau berkata, kerajaan negeri turut menyediakan peluang pendidikan bertaraf antarabangsa melalui Sekolah Menengah Antarabangsa Yayasan Sarawak, termasuk kepada pelajar daripada komuniti luar bandar.

Antara pelajarnya ialah Fathyyass Lawai Tan, anak berdarah campuran Penan dari Ulu Baram, dan Melvina Nara Alexander Betie, pelajar Iban dari Rumah James, Lubuk Kelampu, Betong, yang sedang mengikuti kurikulum Cambridge.

“Dahulu, hanya anak daripada keluarga berada dapat mengakses pendidikan bertaraf dunia. Hari ini, di bawah kerajaan GPS, setiap anak mempunyai peluang itu,” katanya.

Selain pendidikan, Abang Johari turut mengetengahkan kisah anak Sarawak yang kembali menyumbang kepada negeri selepas memperoleh kelayakan dan pengalaman di luar negara.

Antaranya, Randu Rangen, anak Bidayuh dari Kampung Stabut, Padawan, yang memperoleh Sarjana Sains dalam bidang Alam Sekitar, Politik dan Masyarakat dari University College London sebelum berkhidmat sebagai penasihat undang-undang di Petros.

RANDU Rangen, anak Bidayuh dari Kampung Stabut, Padawan, yang memperoleh Sarjana Sains dalam bidang Alam Sekitar, Politik dan Masyarakat dari University College London.

Seorang lagi ialah Jacinta Lim, ahli fisioterapi dari Limbang yang pernah memulakan kerjaya di Singapura sebelum menerima biasiswa penuh dan elaun pada 2016 untuk melanjutkan pengajian sarjana dalam bidang fisioterapi klinikal di Universiti Curtin, Australia.

Selepas kembali, beliau menubuhkan Rehab Concept yang kini mengendalikan tiga pusat fisioterapi, dua di Kuching dan satu di Petaling Jaya, selain terlibat dalam program pemulihan serta kesedaran kesihatan masyarakat.

Menurut Abang Johari, pelaburan dalam pendidikan perlu disertai peluang kerjaya yang bermakna di Sarawak supaya graduan dapat membina kehidupan dan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negeri tanpa perlu mencari pekerjaan di tempat lain.

Beliau berkata, pembangunan industri berpertumbuhan tinggi seperti semikonduktor, pertanian berteknologi tinggi serta minyak dan gas akan memperluas peluang pekerjaan untuk anak Sarawak.

Pendekatan itu, katanya, merupakan sebahagian daripada usaha membina masa depan yang lebih inklusif, dengan manfaat pembangunan dapat dinikmati rakyat daripada pelbagai latar belakang.

Oleh Shahrul Qaizat