JPNS perkukuh tadbir urus, kepimpinan strategik menerusi Bicara Eksekutif

Facebook
WhatsApp
PENGANJURAN Bicara Eksekutif Bilangan 8 yang berlangsung di Auditorium JPNS. Foto SSTP JPN Sarawak

PETRA JAYA, 21 Oktober: Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak (JPNS) terus memperkukuh tadbir urus, kepimpinan strategik dan kecemerlangan organisasi menerusi penganjuran Bicara Eksekutif Bilangan 8 yang berlangsung di Auditorium JPNS, semalam.

Program yang disempurnakan Pengarah Pendidikan Negeri, Dato Omar Mahli itu menjadi platform penyampaian amanat kepimpinan, penyelarasan hala tuju organisasi serta pengukuhan pelaksanaan Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam (ARPA).

Menurut kenyataan media JPNS, program berkenaan turut menghimpunkan warga kepimpinan dan pegawai jabatan bagi memperkukuh kefahaman terhadap agenda reformasi, di samping mengiktiraf sumbangan individu serta kesatuan yang memainkan peranan penting dalam kecemerlangan pengurusan pendidikan negeri.

Dalam amanatnya, Omar menekankan kepentingan komitmen, integriti, profesionalisme dan kerjasama berpasukan bagi memastikan setiap inisiatif pendidikan dilaksanakan dengan berkesan serta memberikan impak positif terhadap penyampaian perkhidmatan.

Sesi libat urus ARPA yang diadakan turut memberi penekanan kepada usaha meningkatkan kecekapan organisasi, produktiviti, penambahbaikan proses kerja serta pembudayaan penyampaian perkhidmatan yang berorientasikan hasil dan keperluan rakyat.

Pendekatan itu turut menuntut perubahan minda, penerapan inovasi dan penambahbaikan berterusan dalam kalangan warga pendidikan bagi mendepani cabaran perkhidmatan awam yang semakin dinamik.

Sebagai penghargaan terhadap sumbangan dan pencapaian pegawai, JPNS turut menyampaikan Anugerah Penghargaan Sektor Pengurusan Sekolah kepada dua penerima.

Timbalan Pengarah Sektor Pengurusan Sekolah, Dr. Les Met menerima Anugerah Wibawa Kepimpinan Strategik Pendidikan, manakala Penolong Pengarah Unit Sekolah Jenis Khas, Sektor Pengurusan Sekolah, Abdul Khalid Bujang menerima Anugerah Pemacu Naratif Organisasi.

Pengiktirafan itu memperlihatkan penghargaan jabatan terhadap kepimpinan, sumbangan profesional serta peranan strategik pegawai dalam menggerakkan agenda pendidikan dan memperkukuh aspirasi organisasi.

Bicara Eksekutif Bilangan 8 turut mengiktiraf tiga kesatuan menerusi Anugerah Majlis Bersama Jabatan (MBJ): Ahli Aktif, iaitu Kesatuan Guru Bumiputra Sarawak (KGBS), Kesatuan Pembantu Makmal (Pelajaran) Negeri Sarawak (KESPEMS) dan Kesatuan Guru Sarawak (STU).

Pengiktirafan berkenaan menghargai penglibatan aktif kesatuan dalam MBJ sebagai platform komunikasi, perundingan dan kerjasama antara pihak pengurusan dengan wakil pekerja, khususnya berkaitan kepentingan perkhidmatan serta kebajikan warga organisasi

Lebih membanggakan, JPNS turut mencatat pencapaian membanggakan apabila menerima Anugerah MBJ Paling Aktif Tahun 2025 pada peringkat Kementerian Pendidikan Malaysia

Pencapaian itu memperlihatkan komitmen jabatan dalam memperkukuh hubungan majikan-pekerja, menggalakkan dialog konstruktif serta memastikan pandangan dan suara warga perkhidmatan diberikan perhatian melalui saluran yang sewajarnya.

Majlis turut diserikan dengan acara pemotongan kek sebagai tanda penghargaan kepada Dato Omar atas pengurniaan Darjah Utama Yang Amat Mulia Bintang Sarawak, Panglima Setia Bintang Sarawak (P.S.B.S.), yang membawa gelaran Dato.

Pengurniaan tersebut berlangsung sempena sambutan Hari Kelahiran Ke-80 Yang di-Pertua Negeri pada 10 Oktober lalu, selain meraikan ulang tahun kelahiran beliau pada 18 Oktober 2026.

Detik istimewa itu menjadi simbol penghargaan warga JPNS terhadap kepimpinan dan sumbangan beliau dalam menerajui pembangunan pendidikan di Sarawak.

Secara keseluruhannya, penganjuran Bicara Eksekutif Bilangan 8 bukan sahaja memperkukuh penyelarasan hala tuju jabatan, malah menyemarakkan budaya penghargaan, kerjasama strategik dan penglibatan aktif warga pendidikan dalam pembangunan organisasi.

JPNS berharap seluruh warga jabatan terus mengamalkan budaya kerja berintegriti, proaktif dan berorientasikan hasil, selain meningkatkan profesionalisme serta kecekapan penyampaian perkhidmatan demi kepentingan pendidikan dan masa depan generasi Sarawak.

Oleh Adi Safarman