SHAH ALAM: Hanya menjalani satu sesi latihan seirama, gandingan penerjun Sarawak Elvis Priestly Clement dan Awang Sharzan Nasrin tampil mengejutkan pasangan juara Sukan SEA dari Wilayah Persekutuan untuk meraih emas acara 3 Meter (3m) Papan Anjal Seirama Lelaki pada Sukan Malaysia (Sukma) XXII Selangor 2026 di Pusat Akuatik Darul Ehsan, hari ini.
Lebih mengagumkan, gandingan itu yang dibentuk pada saat akhir selepas pasangan asal Elvis, Jared Aiden Harold, terpaksa menarik diri akibat kecederaan, berjaya memintas pasangan Nurqayyum Nazmi Mohamad Nazim dan Yong Rui Jie pada terjunan terakhir untuk merampas emas.
Awang Sharzan-Elvis mengumpul 333.90 mata selepas lima siri terjunan untuk menewaskan Nurqayyum-Rui Jie yang meraih perak dengan 331.11 mata, manakala pasangan Selangor, Ikmal Abror Ibrahim dan Muhammad Haris Mohd Rezal, memperoleh gangsa dengan 307.89 mata.

Elvis, 19, berkata mereka hanya sempat menjalani satu sesi latihan bersama pada Selasa lalu sebelum terus turun beraksi dalam pertandingan hari ini.
“Prestasi hari ini sungguh memuaskan untuk saya dengan Awang kerana kami baru sekali berlatih untuk Sukma tahun ini.
“Ini mungkin rezeki kami dan saya amat bersyukur sebab peluang datang tepat pada masanya,” katanya kepada pemberita selepas pertandingan.
Pasangan Sarawak itu pada awalnya berada di kedudukan kedua sehingga pusingan kelima sebelum menghasilkan terjunan terbaik pada percubaan terakhir untuk mengatasi gandingan Wilayah Persekutuan.
Elvis berkata mereka hanya memberikan tumpuan sepenuhnya terhadap terjunan terakhir tanpa memikirkan kedudukan ketika itu.
“Kami memang fokus habis untuk terjunan terakhir. Kami tidak fikir mengenai kedudukan atau perkara lain, cuma fokus kepada terjunan itu.
“Kami juga bernasib baik kerana salah seorang penerjun Wilayah Persekutuan mengalami sedikit kecederaan. Jadi kami tidak mahu terlalu berbangga dengan kemenangan ini,” katanya.
Kejayaan itu menyaksikan Elvis meraih emas kedua pada temasya kali ini selepas menjuarai acara 10m Platform Seirama Lelaki bersama Jared semalam, selain gangsa dalam acara 3m Papan Anjal Lelaki.
Sementara itu, Awang Sharzan berkata gandingan bersama Elvis bukan sesuatu yang asing kerana mereka pernah beraksi bersama dalam acara seirama ketika berusia sekitar 10 tahun.
Katanya, mereka kemudian membawa haluan masing-masing selepas menyertai skuad kebangsaan sebelum kembali digandingkan pada saat akhir di Sukma kali ini.
“Ia bukan kali pertama sebab dulu kami memang pernah bersama ketika kecil, ketika berumur sekitar 10 tahun, namun selepas masuk skuad kebangsaan kami terpisah,” katanya.
Kemenangan itu sekali gus menyaksikan gandingan yang hanya sempat berlatih bersama sekali membuktikan mereka mampu menghasilkan kejutan besar apabila berjaya menumbangkan pasangan yang mempunyai pengalaman di pentas Sukan SEA.
Oleh Shahrul Qaizat





