Kanak-kanak perlu tempat selamat untuk lapor bahaya dalam talian

Facebook
WhatsApp
SOPHIE Azlan ketika sidang media Festival Animasi dan Permainan Borneo (BAGFest) di sebuah hotel terkemuka, di Kuching, hari ini.

KUCHING: Kanak-kanak perlu diberi keyakinan untuk tampil mendapatkan bantuan apabila berdepan interaksi mencurigakan atau pengalaman tidak menyenangkan dalam talian, kata Pensyarah dan pereka bentuk permainan di Universiti Wollongong Malaysia, Sophie Azlan.

Beliau berkata, perkara itu penting kerana sebahagian kanak-kanak menggunakan ruang digital untuk mencari rakan, berkomunikasi dan membina komuniti, namun pada masa sama boleh terdedah kepada individu yang mengambil kesempatan terhadap keperluan berkenaan.

Menurutnya, kanak-kanak mungkin tidak menyedari sesuatu interaksi telah berubah menjadi keadaan berbahaya, terutama apabila pihak yang berniat jahat terlebih dahulu membina kepercayaan dengan mereka.

“Kanak-kanak mencari komuniti. Jika mereka tidak menemuinya secara bersemuka, mereka mungkin cuba mendapatkannya dalam talian.

“Dalam ruang itu pula terdapat individu berniat jahat yang mahu mengambil kesempatan terhadap mereka,” katanya ketika sidang media Festival Animasi dan Permainan Borneo (BAGFest) di sebuah hotel terkemuka, di sini, hari ini.

ROBERT Gass pada sidang media Festival Animasi dan Permainan Borneo (BAGFest) di sebuah hotel terkemuka, di Kuching, hari ini.

Sophie berkata, pendidik boleh menjadi antara individu dewasa yang boleh didekati kanak-kanak sekiranya mereka berdepan perkara yang menimbulkan rasa tidak selesa ketika berada dalam talian.

Katanya, tidak semua situasi yang memerlukan perhatian bermula dengan kejadian besar kerana mesej, komen atau perbualan tertentu juga boleh menimbulkan rasa tidak selesa dalam kalangan kanak-kanak.

“Kadangkala ia hanya perkara mudah seperti seseorang mengatakan sesuatu kepada mereka dan mereka berasa pelik atau tidak selesa.

“Kita perlu memberi mereka peluang untuk meluahkan apa yang berlaku kerana perkara itu boleh memberi kesan yang lebih besar daripada apa yang kita sangka,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Wakil UNICEF ke Malaysia, Sanja Saranovic berkata, usaha melindungi kanak-kanak dalam persekitaran digital tidak boleh dipikul oleh satu pihak sahaja.

“Ibu bapa, pendidik, industri, kerajaan dan kanak-kanak sendiri mempunyai peranan dalam memastikan dunia digital menjadi persekitaran yang lebih selamat.

“Kewujudan risiko dalam talian tidak bermakna kanak-kanak perlu dijauhkan sepenuhnya daripada teknologi kerana ruang digital turut memberi manfaat dalam pendidikan, penyelidikan dan hubungan sosial”, katanya.

DARI kiri, Sophie Azlan, Sivaselvi Supramaniam, Sanja Saranovic dan Robert Gass ketika sidang media Festival Animasi dan Permainan Borneo (BAGFest) di sebuah hotel terkemuka, di Kuching, hari ini.

Sebaliknya, menurut beliau, kandungan berbahaya perlu dikawal dan pihak industri perlu memastikan produk serta pengalaman digital mengambil kira kesesuaian umur pengguna.

“Guru juga mempunyai tanggungjawab untuk memperkenalkan kaedah carian internet yang selamat di sekolah.

“Jadi, kita memerlukan seluruh komuniti untuk melindungi kanak-kanak dalam dunia digital,” katanya.

Dalam pada itu, Pakar Perlindungan Kanak-Kanak UNICEF, Sivaselvi Supramaniam berkata, kebimbangan untuk dipersalahkan atau dihukum turut menyebabkan sesetengah kanak-kanak enggan menceritakan pengalaman buruk yang berlaku kepada mereka dalam talian.

Menurutnya, keadaan itu boleh berlaku apabila kanak-kanak menyedari mereka berada di platform atau ruang yang tidak sepatutnya diakses.

Katanya, mereka mungkin bimbang tindakan menceritakan kejadian tersebut menyebabkan ibu bapa mempersoalkan mengapa mereka berada di situ atau mengambil tindakan seperti merampas peranti.

“Jika mereka merasakan diri mereka akan dihakimi atau dipersalahkan, mereka mungkin memilih untuk tidak bercakap mengenai perkara yang berlaku.

“Perasaan bersalah dan takut ini boleh menyebabkan kejadian tidak dilaporkan,” katanya.

Sivaselvi berkata, keadaan berkenaan bukan sahaja menyukarkan kanak-kanak mendapatkan bantuan, malah boleh menyebabkan risiko sama berulang terhadap kanak-kanak lain.

Justeru, katanya, saluran aduan yang mudah diakses dan mesra kanak-kanak perlu diwujudkan supaya mereka mempunyai pilihan untuk mendapatkan bantuan apabila berdepan bahaya dalam talian.

Beliau turut menggesa ibu bapa membina komunikasi terbuka dengan anak-anak supaya mereka berasa selamat untuk berkongsi pengalaman tanpa takut dimarahi atau kehilangan akses kepada peranti.

Oleh Shikin Mahmud