Keselamatan kanak-kanak perlu jadi keutamaan industri digital

Facebook
WhatsApp
SIVASELVI Supramaniam pada Sidang Media Festival Animasi dan Permainan Borneo (BAGFest) di sebuah hotel terkemuka, hari ini.

KUCHING: Industri teknologi dan permainan video perlu menerapkan ciri keselamatan kanak-kanak sejak peringkat awal pembangunan produk digital bagi mengurangkan risiko mereka terdedah kepada bahaya dalam talian.

Pakar Perlindungan Kanak-Kanak UNICEF, Sivaselvi Supramaniam berkata, pendekatan Keselamatan Melalui Reka Bentuk (Safety by Design) perlu menjadi sebahagian daripada proses pembangunan, bukannya hanya dipertimbangkan selepas sesuatu insiden berlaku.

Menurutnya, tanggungjawab melindungi kanak-kanak dalam ruang digital tidak boleh diletakkan sepenuhnya kepada ibu bapa atau kanak-kanak sebagai pengguna.

“Industri juga mempunyai tanggungjawab untuk memastikan produk yang dikeluarkan selamat untuk kanak-kanak.

“Keselamatan perlu difikirkan sejak awal, sama seperti kita memastikan ciri keselamatan sudah tersedia dalam sesebuah kereta sebelum ia digunakan,” katanya ketika sidang media Festival Animasi dan Permainan Borneo (BAGFest) di sebuah hotel di sini, hari ini.

Sivaselvi berkata, antara ciri perlindungan yang perlu dipertimbangkan dalam reka bentuk platform digital termasuk menetapkan tahap privasi yang tinggi secara lalai serta mengehadkan hubungan antara kanak-kanak dengan orang dewasa yang tidak dikenali.

Katanya, fungsi penjejakan lokasi juga wajar dinyahaktifkan bagi akaun kanak-kanak, selain menyediakan saluran pelaporan yang mudah difahami dan digunakan sekiranya mereka berdepan kandungan atau interaksi berbahaya.

“Apabila kita bercakap mengenai Keselamatan Melalui Reka Bentuk, ia bermaksud kita cuba mencegah kemudaratan sebelum ia berlaku, bukan hanya bertindak balas selepas sesuatu kejadian,” katanya.

Beliau berkata, pendekatan itu perlu diperluaskan kepada keseluruhan ekosistem digital yang digunakan kanak-kanak, termasuk permainan dalam talian, kumpulan sembang, media sosial serta aplikasi yang menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI).

Dalam pada itu, Sivaselvi berkata, literasi digital dalam kalangan kanak-kanak dan ibu bapa turut perlu diperkukuh bagi melengkapkan usaha yang dilakukan oleh pihak industri.

Katanya, literasi digital bukan sekadar mengetahui cara menggunakan sesuatu aplikasi, tetapi turut merangkumi kefahaman mengenai ciri keselamatan, tetapan privasi, risiko dalam talian serta kaedah mendapatkan bantuan apabila berdepan masalah.

“Komunikasi terbuka antara ibu bapa dan anak juga penting kerana sesetengah kanak-kanak mungkin enggan melaporkan pengalaman buruk dalam talian kerana bimbang dimarahi, dihukum atau telefon mereka dirampas.

“Kanak-kanak perlu tahu bahawa apabila sesuatu berlaku, mereka mempunyai ruang yang selamat untuk bercakap dengan ibu bapa tanpa rasa dihakimi,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Wakil UNICEF ke Malaysia, Sanja Saranovic berkata, hak kanak-kanak dalam persekitaran digital perlu dilindungi sama seperti hak mereka di luar talian.

Menurutnya, kanak-kanak tidak seharusnya disisihkan sepenuhnya daripada dunia digital hanya kerana wujud risiko kerana teknologi turut menawarkan peluang pembelajaran, penyelidikan dan hubungan sosial.

Sebaliknya, katanya, pihak industri perlu memastikan kandungan yang disediakan bersesuaian dengan umur serta mempunyai mekanisme perlindungan yang sewajarnya.

Pensyarah Sekolah Pengkomputeran dan Media Kreatif, Universiti Wollongong Malaysia, Sophie Azlan berkata, kanak-kanak lazimnya memasuki ruang digital untuk mencari komuniti, berinteraksi dan berhubung dengan rakan sebaya.

Beliau berkata, keinginan itu boleh menyebabkan mereka terdedah kepada individu yang mempunyai niat buruk sekiranya tidak mempunyai pengetahuan yang mencukupi mengenai risiko dalam talian.

Sophie berkata, pendidik juga perlu memainkan peranan sebagai orang dewasa yang boleh dipercayai supaya kanak-kanak berasa selesa untuk berkongsi sekiranya berdepan interaksi yang mencurigakan atau membuatkan mereka tidak selesa.

Sementara itu, Wakil UNICEF ke Malaysia dan Wakil Khas ke Brunei Darussalam, Robert Gass berkata, UNICEF menyokong usaha Malaysia dan Sarawak memperkukuh industri permainan video dan animasi, namun perkembangan sektor berkenaan perlu dilaksanakan secara bertanggungjawab.

Katanya, teknologi mempunyai potensi besar untuk memberi manfaat kepada kanak-kanak, tetapi aspek perlindungan perlu bergerak seiring dengan perkembangan industri.

“Kita mahu melihat industri ini berkembang, tetapi pada masa sama memastikan pengalaman dalam talian yang disediakan kepada kanak-kanak adalah selamat dan positif,” katanya.