KUCHING: Sekatan umur penggunaan media sosial semata-mata tidak memadai untuk menjamin keselamatan kanak-kanak dalam talian, sebaliknya memerlukan pendekatan menyeluruh melibatkan kerajaan, industri, ibu bapa, pendidik dan kanak-kanak sendiri.
Pakar Perlindungan Kanak-Kanak UNICEF, Sivaselvi Supramaniam, berkata sekatan umur boleh menjadi antara langkah perlindungan, namun tidak mampu menghentikan semua risiko yang dihadapi kanak-kanak dalam ruang digital.
Menurutnya, kanak-kanak berkemungkinan mencari jalan untuk mengatasi sekatan berkenaan, termasuk berpindah ke platform lain yang tidak mempunyai kawalan umur.
“Sekatan umur media sosial itu sendiri tidak akan menyelesaikan masalah menjaga keselamatan kanak-kanak. Ia mungkin menjadi salah satu cara, tetapi bukan dengan sendirinya dapat menghentikan semua bahaya yang berlaku kepada kanak-kanak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang media Festival Animasi dan Permainan Borneo (BAGFest) di sebuah hotel terkemuka, di sini, hari ini.
Sivaselvi berkata pendekatan Keselamatan Melalui Reka Bentuk (Safety by Design) perlu diberi keutamaan supaya aspek keselamatan kanak-kanak diterapkan sejak peringkat awal pembangunan sesuatu platform, aplikasi atau produk digital.
Katanya, antara langkah yang boleh dilaksanakan termasuk menetapkan tahap privasi tertinggi secara lalai, menghalang orang dewasa yang tidak dikenali daripada menghubungi kanak-kanak, menyahaktifkan penjejakan lokasi serta menyediakan saluran pelaporan yang mudah dan mesra kanak-kanak.
“Apabila kita bercakap mengenai keselamatan kanak-kanak, ia bukan hanya tanggungjawab ibu bapa atau kanak-kanak sebagai pengguna. Industri juga mempunyai tanggungjawab untuk memastikan produk yang dibangunkan selamat,” katanya.
Sivaselvi turut menekankan kepentingan literasi digital dalam kalangan kanak-kanak dan ibu bapa, bukan sekadar mengetahui cara menggunakan aplikasi, tetapi memahami bagaimana platform dan ciri reka bentuknya berfungsi serta tindakan yang perlu diambil sekiranya berdepan kandungan atau interaksi berbahaya.
Beliau berkata komunikasi terbuka antara ibu bapa dan anak juga penting kerana kanak-kanak mungkin enggan melaporkan pengalaman buruk dalam talian sekiranya bimbang dimarahi, dihukum atau telefon mereka dirampas.
“Kanak-kanak perlu tahu bahawa apabila sesuatu berlaku, mereka mempunyai ruang yang selamat untuk datang kepada ibu bapa dan bercakap mengenainya tanpa rasa dihakimi,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Wakil UNICEF ke Malaysia, Sanja Saranovic, berkata hak kanak-kanak dalam persekitaran digital adalah sama seperti hak mereka di luar talian.
Katanya, kanak-kanak tidak seharusnya dikeluarkan sepenuhnya daripada dunia digital hanya kerana wujud risiko, memandangkan ruang berkenaan turut menyediakan peluang untuk pendidikan, penyelidikan, hubungan sosial dan pembelajaran.
Sebaliknya, katanya, kandungan berbahaya perlu dikawal dan industri perlu memastikan kandungan yang disediakan bersesuaian dengan umur pengguna.
“Guru juga mempunyai tanggungjawab untuk memperkenalkan kaedah carian internet yang selamat di sekolah.
“Jadi, ia memerlukan seluruh komuniti untuk melindungi kanak-kanak dan kini kita bercakap mengenai komuniti itu dalam konteks hak kanak-kanak di dunia digital,” katanya.
Sanja turut berkata pengalaman beberapa negara yang melaksanakan sekatan menunjukkan kanak-kanak boleh mencari kaedah untuk mengatasinya dan beralih ke platform yang lebih sukar dipantau.
Dalam pada itu, Pensyarah Sekolah Pengkomputeran dan Media Kreatif, Universiti Wollongong Malaysia, Sophie Azlan, berkata jurang kefahaman ibu bapa terhadap perubahan landskap internet antara cabaran utama dalam memastikan keselamatan kanak-kanak.
Beliau berkata internet yang digunakan kanak-kanak hari ini jauh berbeza berbanding persekitaran digital yang dialami ibu bapa ketika mereka membesar.
Katanya, sesetengah ibu bapa turut menganggap sesuatu platform itu selamat secara automatik hanya kerana ia dilabelkan untuk kanak-kanak.
“Kanak-kanak masuk ke ruang digital untuk mencari komuniti, berinteraksi dan berkawan. Mereka melakukan perkara biasa sebagai kanak-kanak, tetapi tidak semestinya menyedari apabila sesuatu interaksi itu berubah menjadi situasi berbahaya,” katanya.
Sophie berkata hasil perbualannya dengan kanak-kanak mengenai pembulian siber dan keselamatan siber turut mendapati sebahagian mereka memilih untuk ‘menipu penipu kembali’ berbanding melaporkan kejadian atau memberitahu orang dewasa yang dipercayai.
Katanya, keadaan itu menunjukkan keperluan mendidik kanak-kanak mengenai tindakan yang betul apabila berdepan situasi tidak selamat dalam talian.
Beliau berkata pendidik juga perlu memainkan peranan sebagai orang dewasa yang boleh dipercayai supaya kanak-kanak berasa selesa untuk berkongsi sekiranya mereka berdepan interaksi yang mencurigakan atau membuatkan mereka berasa tidak selamat.
Sementara itu, Wakil UNICEF ke Malaysia dan Wakil Khas ke Brunei Darussalam, Robert Gass, berkata perkembangan pesat industri permainan video dan animasi di Sarawak perlu disertai pendekatan pembangunan yang bertanggungjawab serta mengutamakan perlindungan kanak-kanak.
Menurutnya, UNICEF menyokong usaha Malaysia dan Sarawak mengembangkan industri berkenaan, namun pada masa sama mahu memastikan teknologi yang dibangunkan memberi manfaat kepada kanak-kanak tanpa mengabaikan aspek keselamatan.
Katanya, UNICEF dan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) turut bekerjasama dengan Kementerian Digital, industri permainan video dan pembangun bagi mewujudkan pengalaman dalam talian yang lebih selamat dan positif untuk kanak-kanak.
“Kita tidak boleh hanya membina keselamatan selepas sesuatu kejadian berlaku. Keselamatan perlu dibina dari awal,” katanya.
Robert turut menggesa media memainkan peranan penting dalam meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai hak dan keselamatan kanak-kanak dalam dunia digital.
BAGFest menjadi platform pertemuan antara pemain industri, pembangun permainan, pemegang taruh dan pihak berkepentingan untuk membincangkan perkembangan sektor animasi serta permainan video, termasuk aspek keselamatan dan perlindungan kanak-kanak dalam ekosistem digital.



