LAWAS: Kerajaan Sarawak mengenal pasti kawasan subur di Merapok dan daerah kecil Sundar sebagai antara lokasi berpotensi untuk dibangunkan bagi penanaman padi secara komersial.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, pemilihan kawasan Ulu Merapok dan Merapok Laut dibuat berdasarkan kajian agensi berkaitan mengenai potensi kedua-dua kawasan berkenaan.
Menurutnya, penglibatan pihak swasta amat diperlukan bagi menjayakan projek penanaman padi berskala besar itu.
“Salah satu kawasan yang sudah kita rancang untuk dibangunkan bagi penanaman padi ialah Ulu Merapok dan Merapok Laut, selain beberapa kawasan lain di Lawas.
“Premier Sarawak pada dasarnya telah meluluskan peruntukan bagi menyediakan kemudahan asas seperti sistem saliran dan jalan untuk membolehkan projek ini dilaksanakan.
“Peringkat kedua ialah mengenal pasti pihak swasta untuk terlibat kerana pelaksanaan projek ini memerlukan kerjasama pihak swasta,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media pada sesi bertemu media di Pusat Khidmat Merapok di sini, petang semalam.
Awang Tengah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Sari berkata, pihaknya telah menerima beberapa cadangan daripada pihak swasta untuk terlibat dalam projek penanaman padi berkenaan.
Dalam pada itu, katanya, kerajaan akan terus memberi sokongan kepada pihak swasta menerusi penyediaan infrastruktur yang diperlukan bagi memastikan projek itu dapat dilaksanakan dengan berkesan.
Beliau turut mahu petani tempatan terlibat bersama pihak swasta bagi memastikan projek berkenaan memberi manfaat kepada masyarakat setempat.
Katanya, projek itu berpotensi meningkatkan pendapatan golongan petani tempatan.
Oleh Adeng Edrus




