SIBU, 21 Oktober: Kesedaran masyarakat terhadap kepentingan memelihara sumber air perlu dipertingkatkan sebagai persediaan menghadapi perubahan iklim yang boleh menyebabkan kejadian banjir dan kemarau.
Pengarah Pengurusan Sumber Air dan Hidrologi, Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia, Ir Anita Ainan berkata, masyarakat perlu menghargai sumber air sedia ada serta memainkan peranan dalam memastikan kelestariannya untuk kegunaan generasi akan datang.
“Persediaan menghadapi kemungkinan kemarau memerlukan kita menghargai sumber air yang ada dan memastikan semua pihak bekerjasama memeliharanya,” ujarnya
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Pelepasan Program Ekspedisi Sumber Air Negara (EKSAN) Kali Ke-8 Tahun 2026 sempena Sambutan Hari Sungai Sedunia Peringkat Kebangsaan di Dataran Tun Tuanku Bujang, pagi ini.
Menurutnya, ekspedisi tersebut yang dilaksanakan di Lembah Tunoh, Bukit Mabong bertujuan meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai kepentingan menjaga sumber air negara.
“Kira-kira 50 peserta daripada pelbagai agensi mengambil bahagian dalam ekspedisi selama dua hari itu, termasuk wakil kementerian, PETRA dan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN),” katanya.
Beliau memberitahu, Lembah Tunoh dipilih kerana kawasan itu masih mempunyai sumber air semula jadi yang digunakan penduduk setempat tanpa rawatan, serta memperlihatkan kepentingan memelihara kawasan tadahan dan persekitaran sungai.
Menurutnya, meskipun Sarawak mempunyai sumber air yang banyak, aspek kualiti air tetap perlu diberikan perhatian bagi memastikan sumber berkenaan kekal bersih dan selamat digunakan.
“Penduduk setempat perlu mengelakkan pencemaran, termasuk perbuatan membuang sampah ke dalam sungai kerana tindakan sedemikian boleh menjejaskan kualiti sumber air,” ujarnya lagi.
Anita berkata, antara pengisian ekspedisi itu termasuk aktiviti menjejaki sumber air, pendakian bagi melihat sendiri sistem penyaluran air tradisional dari kawasan air terjun ke kampung serta pemeriksaan kualiti air menggunakan bioindikator.
“Program itu turut merangkumi aktiviti pendidikan untuk murid sekolah dan penanaman padi bagi memberi pemahaman mengenai kepentingan air dalam kehidupan harian serta sektor pertanian,” katanya.
Beliau berharap peserta yang terlibat dapat menjadi ejen penyebaran maklumat kepada masyarakat mengenai kepentingan memelihara sumber air, selain menggalakkan penglibatan komuniti setempat dalam menjaga kebersihan sungai dan alam sekitar.
Oleh Akun Giman




