BINTANGOR, 21 Oktober: Kehadiran seekor ular sawa di bumbung tempat letak kereta sebuah rumah di Lorong 7, Taman Bintang mencetuskan kebimbangan penghuni petang semalam.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintangor, Mahmudin Narudin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 5.45 petang.
“Pengadu memaklumkan terdapat seekor ular di bahagian bumbung tempat letak kereta rumahnya dan meminta bantuan pihak bomba untuk menangkap reptilia tersebut.

“Susulan panggilan kecemasan, tiga anggota bomba diketuai Pegawai Bomba Kanan (PBK) II Bahani Bajuri digerakkan untuk menjalankan operasi menangkap ular tersebut,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Beliau berkata, pemeriksaan anggota bomba di lokasi mengesahkan kehadiran seekor ular sawa di bahagian bumbung tempat letak kereta.
“Pasukan bomba kemudian bertindak menangkap ular sawa tersebut menggunakan alat penjerut ular bagi memastikan reptilia itu dapat ditangkap dengan selamat.
“Ular berjaya ditangkap dan khidmat khas selesai sepenuhnya pada 5.58 petang,” katanya.
Oleh Earl Anek




