Stor rumah jadi ‘tempat persembunyian’ ular sawa 3.7 meter

Facebook
WhatsApp
ANGGOTA APM Sri Aman berjaya menangkap seekor ular sawa batik sepanjang 3.7 meter di sebuah stor rumah milik seorang penduduk di Kampung Hilir, pagi tadi. Foto APM Sri Aman

SIMANGGANG: Seekor ular sawa batik berukuran 3.7 meter ditemukan di dalam sebuah stor rumah di Kampung Hilir, di sini, pagi tadi.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Sri Aman, Leftenan Kamal Bujang, berkata pihaknya menerima panggilan daripada orang awam pada 9.28 pagi yang memaklumkan terdapat objek mencurigakan dipercayai seekor ular di dalam stor rumah berkenaan.

Menurutnya, pengadu yang dikenali sebagai Subhi Ahmad menghubungi Angkatan Pertahanan Awam (APM) bagi mendapatkan bantuan selepas menyedari kehadiran ular berkenaan.

“Pasukan APM bergerak ke lokasi pada 9.30 pagi dan tiba lima minit kemudian bagi menjalankan pemeriksaan dan operasi menangkap ular berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, pemeriksaan di lokasi mendapati reptilia itu merupakan seekor ular sawa batik berukuran kira-kira 3.7 meter panjang.

Katanya, anggota APM berjaya menangkap ular berkenaan menggunakan teknik jerutan tanpa berlaku sebarang kejadian tidak diingini.

“Operasi menangkap ular tersebut selesai pada 9.44 pagi,” katanya.

Operasi itu melibatkan empat anggota APM yang terdiri daripada Sarjan Robinson Chabu Jua, Lans Koperal Zakaria Mahat Abdul Rani, Prebet Abang Ameelruldin Abang Sapuani dan Prebet Mohd Afiq Daniel Ismail.

Menurutnya, lokasi kejadian hanya kira-kira satu kilometer dari Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) Sri Aman, sekali gus membolehkan pasukan APM bertindak pantas selepas menerima panggilan kecemasan.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak cuba menangkap atau mendekati ular bersaiz besar secara bersendirian. Sebaliknya, mereka dinasihatkan segera menghubungi pihak berkuasa atau APM untuk mendapatkan bantuan bagi mengelakkan risiko kecederaan.

Oleh Adi Safarman