Pelancaran buku Mawar Astana Mekar di Jiwa angkat perjalanan hidup Toh Puan Fauziah

Facebook
WhatsApp
BUKU Mawar Astana Mekar di Jiwa yang menghimpunkan perjalanan kehidupan, pengalaman dan sumbangan Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi dilancarkan di Dewan Santapan, Bangunan DUN, Petra Jaya hari ini.

PETRA JAYA: Buku khas Mawar Astana Mekar di Jiwa yang menghimpunkan perjalanan kehidupan, pengalaman serta sumbangan Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi dilancarkan dalam satu majlis di Dewan Santapan, Bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, hari ini.

Majlis pelancaran disempurnakan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah menerusi simbolik imbasan tapak tangan pada peranti khas.

Turut hadir Yang di-Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar serta Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah.

Buku berkenaan mengetengahkan perjalanan kehidupan Toh Puan Fauziah merangkumi pengalaman kerjaya, kehidupan berkeluarga, khidmat kepada masyarakat serta peranannya sebagai isteri kepada Yang di-Pertua Negeri.

Karya tersebut turut mengangkat nilai keikhlasan, ketabahan, kesederhanaan dan kesetiaan yang menjadi antara ciri peribadi Toh Puan Fauziah sepanjang menempuh pelbagai fasa kehidupan.

Pelancaran buku itu turut menjadi penghargaan terhadap sumbangan dan khidmat Toh Puan Fauziah kepada keluarga, masyarakat dan negeri Sarawak.

Majlis turut diserikan dengan persembahan pembukaan oleh Kelab Peminat P. Ramlee Sarawak bersama The Prodigy All Women Orchestra di bawah pimpinan Sharnaz Saberi.

Persembahan turut menampilkan Chien Ng, Firdaus Materang dan Claudia Geres, selain tayangan video khas Kita Masih Berjalan serta deklamasi puisi A Rose in My Life Garden karya Sharifah Nong Jasima Tun Pehin Sri Wan Junaidi.

Turut dipersembahkan ialah persembahan angklung oleh Sekolah Kebangsaan (SK) Agama Datuk Haji Abdul Kadir Hassan Kuching, persembahan tarian oleh Karya Terindah Performing Arts serta lagu khas Mawar Astana ciptaan Sharnaz Saberi dan dinyanyikan Chien Ng.

Selain edisi bercetak, buku Mawar Astana Mekar di Jiwa turut diperkenalkan dalam bentuk buku elektronik interaktif yang dilengkapi fungsi audio serta navigasi halaman dan bab.

Buku elektronik berkenaan boleh diakses menerusi telefon pintar, tablet dan komputer bagi memberi pilihan kepada pembaca menikmati kandungannya secara digital.

Turut hadir Speaker DUN Sarawak, Tan Sri Mohamad Asfia Awang Nasar dan Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Datuk Rosey Yunus serta tetamu kehormat lain.

Oleh Shikin Mahmud