NEW YORK, Amerika Syarikat, 17 Oktober: Penerbit muzik yang tercemar reputasinya, Sean “Diddy” Combs, yang dijatuhi hukuman atas kesalahan berkaitan pelacuran, telah dipindahkan ke penjara baharu di Amerika Syarikat susulan laporan media mengenai dakwaan pergaduhan dan layanan istimewa yang diterimanya di penjara.
Combs, 56, dipindahkan dari Penjara Fort Dix di New Jersey ke Penjara Allenwood Low di Pennsylvania, menurut jurucakap Biro Penjara Amerika Syarikat kepada AFP.
Kedua-dua penjara itu merupakan penjara persekutuan berkemudahan keselamatan rendah untuk banduan lelaki. Bagaimanapun, Allenwood Low menempatkan kira-kira 1,000 banduan berbanding sekitar 4,000 di Fort Dix.
Media Amerika Syarikat melaporkan bahawa Combs menerima rawatan di hospital akibat kecederaan di kepala selepas dipercayai terlibat dalam pergaduhan dengan seorang banduan lain pada hujung minggu lalu.
Pada September lalu, NBC News melaporkan bahawa Combs menikmati kehidupan yang agak mewah ketika menjalani hukuman di Fort Dix, termasuk akses kepada telefon bimbit dan minuman keras yang dilarang di penjara.
Laporan itu turut mendakwa bahawa Combs mempunyai banduan lelaki yang memasak dan membersihkan tempat tinggalnya, selain individu yang memberikannya urutan ala Cina.
Biro Penjara Amerika Syarikat tidak menjelaskan sebab Combs dipindahkan ke penjara baharu itu.
“Atas sebab privasi, keselamatan dan sekuriti, kami tidak membincangkan keadaan penahanan mana-mana individu di bawah jagaan kami, termasuk sebab pemindahan,” kata jurucakap agensi itu.
Combs dijatuhi hukuman pada 2025 selepas perbicaraan yang mendapat perhatian meluas dan mendedahkan dakwaan mengenai acara seks yang dikenali sebagai “freak-offs” yang dianjurkannya.
Acara itu melibatkan aktiviti seksual berpanjangan bersama pelacur lelaki yang diupah, bekas teman wanitanya, Casandra Ventura, serta seorang lagi wanita yang tidak dikenal pasti.
Juri membebaskannya daripada pertuduhan paling serius, iaitu pemerdagangan seks dan jenayah terancang, tetapi mensabitkannya atas dua pertuduhan membawa individu merentasi sempadan negeri bagi tujuan pelacuran.
Combs dijadualkan dibebaskan dari penjara pada Mac 2028. – AFP





