Penantian 36 tahun berakhir, polo air Sarawak sapu bersih dua emas

Facebook
WhatsApp
SKUAD polo air wanita dan lelaki Sarawak meraikan kemenangan bersejarahnya selepas majlis penyerahan pingat di Pusat Akuatik Darul Ehsan, di Shah Alam, hari ini.

SHAH ALAM: Penantian 36 tahun Sarawak untuk kembali menikmati kejayaan emas dalam acara polo air berakhir dengan penuh gemilang apabila skuad lelaki dan wanita negeri itu masing-masing merangkul pingat emas pada Sukan Malaysia (Sukma) XXII Selangor 2026, hari ini.

Lebih manis, kejayaan berganda itu dicapai selepas skuad wanita terlebih dahulu menewaskan tuan rumah Selangor 12-10 pada aksi final, sebelum pasukan lelaki meneruskan momentum dengan mengatasi Selangor 9-6, sekali gus menyaksikan Sarawak menyapu bersih dua emas yang dipertandingkan dalam acara polo air.

Ketua jurulatih polo air Sarawak, Lau Kum Weng, berkata kejayaan itu adalah hasil persiapan rapi pasukan yang menjalani latihan berpusat sejak Januari lalu dengan sembilan sesi latihan setiap minggu.

“Ini memang sesuatu yang menggembirakan. Kami berjaya memenangi dua emas untuk Sarawak. Kami sudah membuat persiapan dengan baik dan memulakan latihan berpusat sejak Januari tahun ini.

“Pemain lelaki bekerja sangat keras, begitu juga pasukan wanita. Kami menjalani sembilan sesi latihan setiap minggu, termasuk latihan seawall 5.00 pagi. Jadi saya rasa mereka memang layak mendapat dua emas ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas aksi final polo air lelaki di Pusat Akuatik Darul Ehsan, di sini, hari ini.

Mengulas aksi final lelaki yang berlangsung sengit, Lau berkata pemainnya pada awalnya sedikit tertekan, namun pengalaman menewaskan Selangor dalam beberapa pertemuan sebelum ini membantu mereka kembali mendapatkan keyakinan untuk mengawal permainan.

SKUAD polo air wanita.

Katanya, sejarah kejayaan polo air Sarawak turut menjadikan kemenangan itu lebih bermakna apabila emas terakhir negeri itu dalam acara berkenaan diraih pada 1990, ketika Tan Kun Gee yang kini menjadi Ketua Pegawai Misi (ACDM) polo air Sarawak masih bergelar pemain.

Tan berkata beliau pernah meraih emas pada Sukma 1986 sebelum menjadi jurulatih ketika Sarawak sekali lagi muncul juara pada 1990, menjadikan kejayaan kali ini cukup istimewa apabila beliau kembali menyaksikan pasukan Sarawak menjuarai acara itu dalam kapasiti sebagai ACDM.

“Pada 1986 saya bermain dalam Sukma pertama dan kami menang emas. Kemudian pada 1990, dia (Lau Kum Weng) dapat emas dan saya ketika itu jurulatihnya. Saya sangat gembira kerana kami bekerja bersama sehingga hari ini,” katanya.

Tan yang juga Presiden Persatuan Renang Amatur Sarawak (ASAS) berkata kejayaan tersebut tidak akan tercapai tanpa sokongan Perbadanan Sukan Sarawak (SSC) dan Majlis Sukan Sarawak, sambil berharap sokongan berterusan dapat membantu membentuk pasukan lebih mantap untuk menghadapi Sukma akan datang.

“Tanpa sokongan SSC dan Majlis Sukan Sarawak, kita tidak akan dapat mencapai kejayaan hari ini. Saya perlukan lebih banyak sokongan daripada kerajaan dan kita akan bina pasukan yang lebih kuat untuk Sukma seterusnya,” katanya.

Menurut Lau, perjalanan polo air Sarawak untuk kembali ke pentas Sukma bukan mudah apabila sukan berkenaan pernah terhenti untuk tempoh panjang, manakala pertandingan polo air juga tidak dipertandingkan secara konsisten akibat kekangan kuota serta kedudukannya sebagai salah satu daripada lima disiplin di bawah sukan akuatik.

SKUAD polo air lelaki.

Beliau berkata program polo air Sarawak mula dihidupkan semula sekitar 2019 sebelum terhenti akibat pandemik Covid-19 dan kembali aktif pada 2022, dengan sebahagian besar pemain semasa dibentuk menerusi pertandingan peringkat umur serta kejohanan Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM).

Menariknya, Lau berkata keseluruhan pemain lelaki dan wanita Sarawak yang beraksi di Sukma kali ini merupakan pendatang baharu di temasya berkenaan, menjadikan kejayaan meraih dua emas itu lebih bermakna.

“Semua pemain ini pertama kali bermain di Sukma. Mereka semua baharu, baik pasukan lelaki mahupun wanita,” katanya.

Tan berkata kejayaan tersebut diharap membuka lembaran baharu buat polo air Sarawak, selain meningkatkan perhatian terhadap pembangunan sukan itu di negeri ini.

Beliau turut berseloroh bahawa selepas kejayaan bersejarah tersebut, tugas pertama buat Lau adalah berehat sebelum kembali menyusun persiapan bagi membentuk pasukan yang lebih kuat untuk Sukma akan datang.

“Sekarang rehat dulu. Jurulatih perlu berehat kerana sudah terlalu penat. Pergi bercuti, kemudian kembali dengan lebih kuat untuk Sukma akan datang,” katanya.

Oleh Shahrul Qaizat