BINTULU, 17 Oktober: Sukan Muay Thai perlu menjadi medium membentuk disiplin dan sahsiah golongan muda, bukannya digunakan untuk membuli atau menyelesaikan perselisihan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Batu Johnny Pang Leong Ming berkata, pendedahan kepada sukan itu, termasuk di sekolah, mampu memberi manfaat dari segi kecergasan fizikal dan pembentukan disiplin sekiranya disertai dengan bimbingan yang betul.
“Kita tidak mahu kejadian buli berlaku di sekolah. Sukan Muay Thai perlu membentuk disiplin dan bukan digunakan untuk menyelesaikan pertelingkahan atau sebarang konflik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media usai menyaksikan Kejohanan Muay Thai Piala Premier Sarawak ke-10 di Paragon Naim Street Mall di sini, semalam.
Johnny Pang berkata, penganjuran kejohanan itu turut membuka ruang kepada peserta antarabangsa mengenali Bintulu serta potensinya sebagai bandar pelabuhan dan hab perindustrian.
Tambahnya, penyertaan atlet dari enam negara bukan sahaja memeriahkan kejohanan, malah membantu memperkenalkan kemudahan penginapan, makanan tempatan dan tarikan Bintulu kepada pengunjung luar negara.
Sementara itu, Presiden Persatuan Muaythai Negeri Sarawak (PMNS) Jumaat Ibrahim berkata, kejohanan itu merupakan platform penting untuk mencungkil bakat baharu, khususnya dalam kalangan belia Bintulu, bagi diketengahkan ke peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
“Sokongan penaja dan pelbagai pihak amat penting bagi memastikan pembangunan sukan Muay Thai di Sarawak dapat diteruskan, selain memberi lebih banyak peluang kepada atlet tempatan untuk meningkatkan prestasi.
Menurutnya, PMNS komited memperluas pembangunan sukan itu melalui usaha mengenal pasti dan membimbing bakat baharu serta menggalakkan kerjasama dengan pihak berkepentingan.
Jumaat turut berharap usaha berterusan itu dapat menyumbang kepada aspirasi Sarawak untuk menjadi House of Sports, sekali gus melahirkan lebih ramai atlet yang mampu mengharumkan nama negeri di peringkat lebih tinggi.
Oleh Carolyne Utih





