Lebih 500 peserta meriahkan Hari Sukan Negara di Mukah

Facebook
WhatsApp
GIMIK Perasmian HSN Peringkat Bahagian Mukah 2026. Foto Adibfahmy

MUKAH, 17 Oktober: Sambutan Hari Sukan Negara peringkat bahagian Mukah 2026 disambut dengan meriah serta dihadiri oleh peserta seramai 500 orang bertempat di Dataran Pehin Setia Raja.

Pegawai Belia dan Sukan bahagian Mukah, Bonnie Manau Michael Amerikan berkata, sambutan Hari Sukan Negara merupakan sebuah identiti daripada Kementerian Belia dan Sukan.

“Program Hari Sukan Negara ini telah dilaksanakan sejak tahun 2015 dan tidak pernah gagal dilaksanakan melainkan pada tahun 2020 ketika negara dilanda pandemik COVID-19.

PEGAWAI Belia dan Sukan bahagian Mukah, Bonnie Manau Michael Amerikan berucap dalam majlis pembukaan. Foto Adibfahmy

“Sambutan ini turut dapat membantu dalam menyatupadukan masyarakat melalui aktiviti sukan dan rekreasi,” katanya ketika berucap dalam majlis hari ini.

Selari dengan Visi Sukan Negara 2030, penganjuran Hari Sukan Negara ini bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat tentang kepentingan mengamalkan gaya hidup cergas dan aktif.

Sehubungan itu, penyertaan aktiviti sukan yang lebih luas di semua peringkat diberi keutamaan bagi memupuk perpaduan dan semangat patriotik dalam kalangan masyarakat.

Justeru, pelbagai aktiviti dijalankan dalam usaha menyemarakkan lagi sambutan pada tahun ini seperti aktiviti Larian Ria Madani HSN Mukah 2026, senamrobik, aktiviti Senam Cergas HSN 2026, cabutan bertuah dan banyak lagi.

Majlis turut dirasmikan oleh wakil residen bahagian Mukah, Mohd Amirul Valentine Laiseh.

Dalam pada itu, Utusan Sarawak sempat menemu bual peserta larian dan jurulatih senamrobik berkaitan pandangan mereka tentang aktiviti yang dijalankan semasa sambutan hari ini.

Lusum Satih, 39, berkata sukan larian harus dipergiat serta perlu diadakan dengan lebih banyak lagi.

“Pada pandangan saya, sukan larian boleh dipergiatkan terutamanya dalam jarak 5 kilometer ataupun 10 kilometer.

“Faktor kesihatan dalam aktiviti larian perlu dititikberatkan tanpa mengejar kedudukan semata-mata,” katanya.

Katanya lagi, pelari perlu tahu kebolehan diri sendiri dan tidak memaksa badan sekiranya tidak berdaya untuk berlari laju sebaliknya gunalah tempo larian yang sesuai dengan diri sendiri.

Lusum yang berasal dari Dalat juga berharap semangat dalam melakukan aktiviti yang sihat dapat diperluaskan dalam kalangan masyarakat.

Sementara itu, Mohamad Syazuan Ideris, 39, berkata aktiviti senamrobik pada hari ini mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada para peserta.

Tambah Syazuan yang merupakan jurulatih senamrobik, aktiviti zumba sangat digalakkan untuk dijadikan sebagai aktiviti harian.

“Senamrobik atau zumba ini bukan setakat senaman tetapi merupakan senaman dalam tarian kerana setiap peringkat umur baik yang muda atau tua boleh mengikut rentaknya,” katanya.

Oleh Adibfahmy