Mawar Astana Mekar di Jiwa abadikan perjalanan hidup Toh Puan Fauziah

Facebook
WhatsApp
KETUA Pegawai Eksekutif Sarawak Tribune dan Suara Sarawak, Datuk Jeniri Amir (kiri hujung sekali),Yang di-Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar bersama Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi dan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah pada majlis pelancaran Buku Mawar Astana Mekar di Jiwa di Dewan Santapan, Dewan Undangan Negeri Sarawak, Petra Jaya, hari ini.

PETRA JAYA: Buku Mawar Astana Mekar di Jiwa mengabadikan perjalanan kehidupan Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi yang merangkumi pengalaman kerjaya, keluarga, kemasyarakatan serta peranannya sebagai isteri Yang di-Pertua Negeri.

Ketua Pegawai Eksekutif Sarawak Tribune dan Suara Sarawak, Datuk Dr Jeniri Amir berkata, buku berkenaan bukan sekadar biografi, sebaliknya mengangkat sisi kehidupan Toh Puan yang jarang diketengahkan di sebalik peranan rasmi dan protokol.

Menurutnya, karya itu membawa pembaca menyelusuri perjalanan Toh Puan Fauziah daripada pengalaman sebagai guru sementara, sebelum membina kerjaya selama 22 tahun dalam industri penerbangan bersama Malaysia Airlines.

“Selama 22 tahun di dunia penerbangan, tentu ada ribuan perjalanan, pelbagai manusia yang ditemui, pelbagai budaya yang disaksikan dan pelbagai pengalaman yang tersimpan.

“Namun, setiap penerbangan akhirnya mengajar satu perkara, setinggi mana pun kita terbang, kita tetap perlu tahu di mana bumi tempat kita berpijak,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran Buku Mawar Astana Mekar di Jiwa di Dewan Santapan, Dewan Undangan Negeri, hari ini.

Beliau berkata, pengalaman dalam dunia penerbangan turut membentuk keperibadian Toh Puan Fauziah dari aspek disiplin, ketepatan, ketahanan, empati serta keupayaan berkomunikasi dengan masyarakat daripada pelbagai latar belakang.

Katanya, pengalaman Toh Puan Fauziah dalam bidang sukan khususnya bola jaring dan badminton pula mencerminkan nilai disiplin, ketahanan dan kesungguhan dalam mencapai kejayaan.

“Di luar pentas rasmi dan acara berprotokol, terdapat sisi kehidupan yang lebih senyap tetapi mungkin lebih bermakna, iaitu khidmat kepada manusia.

“Semasa pandemik COVID-19, misalnya, beliau terlibat dalam usaha membantu komuniti yang memerlukan termasuk pengagihan makanan, membantu warga emas dalam urusan vaksinasi serta membantu mangsa banjir,” katanya.

Dr Jeniri berkata, judul ‘Mawar Astana Mekar di Jiwa’ dipilih kerana bunga mawar bukan sahaja melambangkan keindahan, malah mempunyai duri yang menggambarkan ketabahan dan pengorbanan di sebalik kelembutan.

Menurutnya, buku itu turut mengetengahkan peranan Toh Puan Fauziah sebagai pendamping kepada Tun Pehin Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar, khususnya dalam memberikan sokongan dan ketenangan ketika Tun Wan Junaidi melaksanakan amanah sebagai Yang di-Pertua Negeri.

“Di sebalik seorang pemimpin yang berdiri teguh di hadapan rakyat, sering ada seorang wanita yang menjadi akar kepada keteguhan itu.

“Toh Puan Fauziah ialah insan yang memahami bahawa peranan seorang isteri bukan hanya berkongsi bahagia, tetapi turut memikul sunyi, menenangkan resah dan menguatkan hati ketika perjalanan terasa panjang,” katanya.

Beliau berkata, buku berkenaan turut membawa pembaca mendekati pengalaman Toh Puan Fauziah ketika mula melangkah ke Astana, cabaran sebagai isteri Yang di-Pertua Negeri serta cara beliau menguruskan penampilan dalam melaksanakan tugas rasmi.

Katanya, bahagian Bisikan Hati Nurani Rakyat pula membawa pembaca menyelami sisi kemasyarakatan dan hubungan Toh Puan Fauziah dengan rakyat.

“Biografi yang baik bukanlah buku yang terlalu banyak memuji seseorang. Biografi yang baik ialah buku yang membuatkan pembaca selesai membaca lalu berkata, ‘Saya mengenali manusia ini sedikit lebih dekat’,” katanya.

Dr Jeniri berkata, buku tersebut diharapkan dapat menjadi sumber inspirasi kepada golongan muda, wanita dan masyarakat untuk memahami bahawa kejayaan memerlukan ketekunan, manakala kedudukan pula merupakan satu amanah.

Majlis pelancaran buku itu turut dihadiri Yang di-Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi dan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah.

Oleh Shikin Mahmud