SHAH ALAM: Kejayaan Allexandre Axcell Juntan dan Mohamad Zulhafiz Zulhadi menghadiahkan dua pingat emas buat Sarawak pada Sukan Malaysia (Sukma) XXII Selangor 2026 membuktikan pengorbanan menjalani latihan di Thailand selama tiga bulan akhirnya membuahkan hasil.
Presiden Persatuan Taekwondo Sarawak, Azizul Annuar Adenan berkata, pencapaian kedua-dua atlet itu menjadi kemuncak kepada persiapan rapi yang dilalui skuad sebelum menghadapi temasya berkenaan.
“Latihan di Thailand selama tiga bulan akhirnya membuahkan hasil.
“Saya sangat gembira kerana berjaya menghadiahkan emas pertama untuk Sarawak dalam kempen kali ini,” katanya ketika ditemui selepas pertandingan di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) Shah Alam, hari ini.
Allexandre terlebih dahulu membuka akaun emas Sarawak menerusi acara kyorugi lelaki bawah 63 kilogram (kg) sebelum Zulhafiz menambah emas kedua dalam kategori bawah 87kg.


Mengulas hala tuju kedua-dua atlet selepas kejayaan tersebut, Azizul berkata kemenangan di pentas Sukma membuka peluang lebih besar buat mereka untuk menyertai pemilihan skuad kebangsaan.
“Mana-mana atlet yang memenangi pingat emas akan secara automatik berada dalam senarai pemilihan skuad kebangsaan dan mereka akan bersama pasukan kebangsaan.
“Bagi Taekwondo Malaysia pula, kita akan menghadapi Kejohanan Antara Kelab tidak lama lagi dan saya fikir mereka pasti akan terlibat,” katanya.
Katanya, kejayaan dua atlet berkenaan turut memberikan suntikan moral kepada barisan atlet lain yang masih mempunyai peluang untuk menambah koleksi pingat Sarawak.





