KUCHING: Persatuan Veteran Tentera Laut Diraja Malaysia (PVTLDM) Sarawak terus memperkukuh peranannya sebagai wadah kebajikan dan penyatuan warga veteran TLDM dengan sokongan seramai 508 ahli berdaftar.
Jumlah keahlian itu diumumkan pada Mesyuarat Agung Tahunan Kali Ketiga Tahun 2026 PVTLDM Sarawak yang berlangsung di Bilik Mesyuarat Jabatan Hal Ehwal Veteran Angkatan Tentera Malaysia (JHEV ATM) Cawangan Negeri Sarawak, hari ini.
Mesyuarat berkenaan turut menyaksikan pemilihan barisan kepimpinan baharu PVTLDM Sarawak bagi sesi 2026 hingga 2029, sekali gus menjadi landasan kepada persatuan memperkemas hala tuju serta agenda kebajikan veteran TLDM di negeri ini.
Turut menerajui kepimpinan ialah Pegawai Waran I (B) Kundai Dugi sebagai Naib Presiden I dan Pegawai Waran II (B) Adam Jame Taiyai sebagai Naib Presiden II.
Komander (Bersara) Sudin Wa TLDM dipilih sebagai Presiden PVTLDM Sarawak bagi sesi baharu itu, manakala Pegawai Waran I (B) Hanis Achong dilantik sebagai Timbalan Presiden.
Sementara itu, Pegawai Waran I (B) Muhammad Ruslan Sain Abdullah, yang pernah memimpin PVTLDM Sarawak bagi sesi 2019 hingga 2022 dan 2023 hingga 2025, dilantik sebagai Penasihat persatuan.

Sudin berkata, kekuatan keahlian seramai 508 orang merupakan satu kepercayaan besar daripada warga veteran TLDM terhadap peranan PVTLDM Sarawak dalam menyatukan ahli serta memperjuangkan kebajikan mereka.
“Keahlian seramai 508 orang ini adalah satu kekuatan penting kepada PVTLDM Sarawak. Kami akan terus memastikan persatuan menjadi platform yang menyatukan warga veteran, memelihara semangat persaudaraan serta memperjuangkan kepentingan mereka,” katanya.
Beliau berkata, kepimpinan baharu akan memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh hubungan sesama veteran, meningkatkan jaringan sokongan dan memastikan aspirasi dan kebajikan ahli terus menjadi agenda utama persatuan.
Menurutnya, nilai disiplin, semangat setiakawan dan pengalaman sepanjang berkhidmat dalam TLDM akan terus dijadikan asas dalam memperkasakan peranan PVTLDM Sarawak.
Dalam pada itu, Muhammad Ruslan berkata, pengalaman menerajui persatuan sebelum ini merupakan satu perjalanan bermakna dalam membina asas organisasi serta memperkukuh usaha kebajikan untuk ahli.
Beliau yakin barisan kepimpinan baharu mampu meneruskan kesinambungan perjuangan, visi dan misi PVTLDM Sarawak dengan komitmen tinggi serta sokongan padu daripada seluruh ahli.
Dengan gabungan pengalaman kepimpinan terdahulu, tenaga baharu dan kekuatan 508 ahli berdaftar, PVTLDM Sarawak diyakini mampu terus memainkan peranan penting dalam menjaga kebajikan veteran TLDM, mengeratkan hubungan persaudaraan serta memastikan jasa dan pengorbanan mereka kepada negara sentiasa dihargai.
Oleh Adi Safarman





