29 JKKK Mulu, Marudi terima sijil pelantikan sesi 2026-2027

Facebook
WhatsApp
DATUK Gerawat Gala bergambar kenangan bersama masyarakat Poyut / Lubok Nibong di Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Rh Saut Sg Sebatang Marudi. Foto Jiku Juguong

MARUDI: Seramai 29 Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dari kawasan Mulu dan Marudi menerima Sijil Pelantikan JKKK bagi sesi 2026-2027 yang disampaikan Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek), Datuk Gerawat Gala.

Majlis penyerahan sijil berkenaan disempurnakan pada Program Pemimpin Bersama Rakyat di Rumah Saut, Sungai Sebatang, di sini, hari ini.

Gerawat yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mulu berkata, sijil berkenaan membuktikan bahawa JKKK yang dilantik telah lengkap dari segi susunan organisasi dan pembahagian tugas bagi menjalankan peranan masing-masing.

Beliau berkata, JKKK di peringkat rumah panjang dan kampung memainkan peranan penting sebagai penghubung antara kerajaan dengan rakyat.

“Jawatan dalam JKKK bukan hanya sekadar jawatan, tetapi satu amanah untuk terus memainkan peranan sebagai penghubung yang berkesan antara kerajaan dengan masyarakat.

“Semua JKKK yang dilantik perlu menjalankan tugas dengan penuh integriti, adil dan terbuka,” katanya.

Menurutnya, pemimpin di peringkat akar umbi perlu membela dan membantu rakyat dengan penuh kebijaksanaan, kesabaran dan keikhlasan.

Dalam pada itu, beliau berkata, Program Pemimpin Bersama Rakyat amat penting kerana ia memberi ruang kepada pemimpin dan pegawai kerajaan turun ke lapangan untuk mendengar suara serta memahami keperluan dan permasalahan rakyat di peringkat akar umbi dan rumah panjang.

“Program ini bukan sahaja untuk mendengar ucapan, tetapi merupakan ruang dan peluang terbaik bagi pemimpin serta pegawai kerajaan untuk turun ke lapangan, mendengar suara rakyat dan memahami keperluan mereka,” katanya.

Beliau turut menghargai Pejabat Daerah Marudi dan Pembangunan Poyut Lubok Nibong (PPLN) kerana membawa program berkenaan lebih dekat kepada masyarakat di kawasan Poyut dan Lubok Nibong.

Program berkenaan dianjurkan Pejabat Daerah Marudi dengan kerjasama PPLN, Serakup Indu Dayak Sarawak (SIDS) Cawangan Marudi, JKKK Rumah Saut Sungai Sebatang, Marudi dan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS).

Sebanyak 15 agensi kerajaan turut mengambil bahagian menerusi penyampaian ceramah dan pameran.

Gerawat berkata, pendekatan berkenaan penting bagi membolehkan agensi kerajaan berinteraksi secara langsung dengan rakyat di akar umbi, selain menyampaikan perkhidmatan dan berkongsi maklumat berkaitan program kerajaan.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) kerana turun padang untuk memberikan maklumat yang tepat dan lengkap kepada masyarakat.

“Saya berterima kasih kepada LHDN yang telah turun padang untuk memberi maklumat yang tepat dan lengkap kerana perkara ini sangat diperlukan, terutama apabila ada pihak berkepentingan yang memberikan maklumat kurang tepat dan tidak lengkap sehingga mengelirukan rakyat,” katanya.

Turut hadir Pegawai Daerah Marudi, Rose Edward Tarang.

12 penerima terima bantuan peralatan RM60,000

KOTA SAMARAHAN: Seramai 12 penerima di Bahagian Samarahan menerima bantuan peralatan bernilai keseluruhan RM60,000 menerusi Program Sejahtera MADANI: Peningkatan Pendapatan