BINTULU: Kemudahan Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) dilihat mampu membantu usahawan kecil dan sederhana mengembangkan perniagaan secara dalam talian, termasuk menembusi pasaran luar negara.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Dato’ Sri Julaihi Narawi berkata, kira-kira 20 usahawan di kawasan NADI Kampung Assyakirin memanfaatkan kemudahan berkenaan untuk menjalankan aktiviti ekonomi masing-masing.
Menurutnya, NADI menyediakan peluang kepada usahawan tempatan memanfaatkan kemudahan internet dan platform digital bagi memperluas pasaran produk mereka.
Perkara itu, tambah beliau, dapat dilihat menerusi produk keluaran Monanie Family Enterprise yang mengetengahkan belacan tempatan dengan kaedah pembungkusan lebih menarik dan berpotensi dipasarkan ke luar negara.
“Ini merupakan satu pendekatan dan strategi yang baik kerana produk berkenaan berpotensi untuk dipasarkan ke luar negara dan difahamkan kini telahpun dijual di Singapura,” katanya ketika ditemui media selepas melakukan lawatan kerja rasmi ke NADI Kampung Assyakirin di sini, hari ini.
Julaihi berkata, perkembangan itu membuktikan kemudahan NADI bukan sekadar menjadi pusat akses internet kepada masyarakat, malah berperanan sebagai platform untuk membantu usahawan mengembangkan perniagaan dan meningkatkan pendapatan.
Katanya, usahawan kecil dan sederhana perlu memanfaatkan sepenuhnya kemudahan yang disediakan NADI bagi mengembangkan aktiviti perniagaan secara dalam talian.
“NADI merupakan pusat internet yang membolehkan usahawan menjalankan aktiviti perniagaan secara dalam talian, sekali gus menyediakan peluang kepada usahawan kecil dan sederhana untuk mengembangkan perniagaan mereka,” ujarnya.
Beliau berkata, pendekatan berkenaan selari dengan matlamat NADI untuk membantu masyarakat setempat, khususnya golongan muda dan usahawan, memanfaatkan teknologi digital tanpa perlu meninggalkan kawasan tempat tinggal mereka.
Oleh Carolyne Utih




