PETRA JAYA: Kerajaan Sarawak akan membawa cadangan pelaksanaan Program Perintis Dasar Dadah di Sarawak ke peringkat Kabinet untuk penelitian lanjut, khususnya kerana ia membabitkan aspek keselamatan dan perundangan.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, perkara itu susulan pembentangan hasil Bengkel Pelan Tindakan Bersepadu Daerah Terkawal Dadah oleh Program Dasar Dadah Malaysia (DPPM), hari ini.
“Keperluan untuk kita membawa perkara ini, kajian ini dan cadangan untuk menjalankan program perintis dasar dadah di Sarawak ke peringkat Kabinet.
“Oleh kerana ia melibatkan isu keselamatan, maka ia memang wajar dibawa ke peringkat Kabinet, terutama apabila ia melibatkan undang-undang,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menerima kunjungan hormat Pengarah DPPM, Palani Narayanan bersama pasukannya serta wakil Universiti Swinburne Sarawak, di Bangunan Baitulmakmur II di sini, hari ini.
Fatimah berkata, pembentangan itu turut mengambil kira hasil konsultasi dan libat urus bersama pemegang taruh di Miri dan Subis, selain menekankan keperluan menangani isu penyalahgunaan dan kebergantungan dadah secara lebih menyeluruh.
Katanya, pendekatan berkenaan mengambil kira aspek kesihatan awam, sosial, keluarga, komuniti, rawatan dan pemulihan, di samping penguatkuasaan undang-undang.
“Kita melihat ada yang baik dari segi model yang telah dibentangkan tadi, namun kita harus lihat bagaimana model itu boleh digunakan dalam keadaan sedia ada, di mana ada undang-undang yang jelas berkaitan dengan isu penyalahgunaan dadah,” jelasnya.
Menurutnya, sekiranya dilaksanakan, pendekatan intervensi perlu disesuaikan mengikut tahap penggunaan, risiko dan keperluan individu, termasuk pencegahan dan intervensi awal, kaunseling, rawatan, pemulihan secara sukarela serta rawatan berasaskan komuniti.
“Pendekatan ini penting supaya individu yang memerlukan bantuan dapat disalurkan kepada bentuk intervensi yang bersesuaian dan tidak menggunakan satu pendekatan yang sama bagi semua keadaan,” ujarnya.
Dalam perkembangan berkaitan, sebanyak 9,554 tangkapan berkaitan dadah dan substans direkodkan di Sarawak menerusi 7,070 operasi penguatkuasaan sepanjang Januari hingga Julai tahun ini.
Daripada jumlah itu, 456 tangkapan membabitkan kes pengedaran, 1,760 kes memiliki dadah dan substans, manakala 7,338 lagi merupakan individu yang disaring positif urin.
Pada masa sama, seramai 4,690 individu direkodkan menjalani rawatan dan pemulihan melalui rangkaian MIDS setakat 31 Julai lalu.
Fatimah berkata, angka berkenaan menunjukkan keperluan untuk usaha menangani isu dadah dilaksanakan secara bersepadu dengan menghubungkan aspek pencegahan, penguatkuasaan, rawatan, pemulihan dan integrasi semula.
“Pendekatan yang berkesan bukan sahaja perlu menangani penggunaan dadah itu sendiri, tetapi turut mengambil kira faktor keluarga, kesihatan mental, sokongan rakan sebaya, keadaan sosial serta peluang pekerjaan dan integrasi semula individu ke dalam komuniti,” katanya.
Tegas beliau, isu dadah dan substans tidak boleh ditangani oleh satu agensi secara bersendirian, sebaliknya memerlukan kerjasama antara agensi penguatkuasaan, kesihatan, kebajikan, institusi akademik dan masyarakat.
Tambahnya, Sarawak mempunyai asas kerjasama antara agensi dan komuniti yang boleh dimanfaatkan sekiranya program perintis itu dipertimbangkan untuk dilaksanakan.
Beliau berkata, program berkenaan perlu dijalankan secara berperingkat, terkawal dan berasaskan bukti, selain mempunyai mekanisme pemantauan dan penilaian yang jelas.
Oleh Adele Rissa





