PETRA JAYA, 16 Oktober: Ketua jurulatih Kuching City FC, Aidil Sharin Sahak menegaskan pasukannya layak memenangi perlawanan menentang Kitchee SC dalam saingan Liga Juara-Juara AFC Dua (ACL Two), di laman sendiri berdasarkan peluang yang dicipta serta tekanan yang diberikan sepanjang aksi.
Beliau berkata persembahan anak buahnya membuktikan Kuching City mampu bersaing dengan baik, namun kegagalan memanfaatkan peluang yang terhidang terus menjadi aspek yang perlu diperbaiki bagi memastikan usaha di atas padang membuahkan hasil lebih positif.
“Sesiapa yang menyaksikan perlawanan boleh melihat berapa banyak peluang yang kami cipta, bagaimana kami memberikan tekanan kepada lawan dan bagaimana kami menjaringkan gol.
“Namun, itulah bola sepak. Jika anda tidak menjaringkan gol, anda tidak akan memenangi perlawanan. Jadi, bukan sahaja aspek pertahanan perlu diberikan perhatian, malah kami juga perlu lebih tajam ketika menyerang,” katanya pada sidang media selepas perlawanan.
Aidil berkata prestasi pemain semakin meningkat seiring dengan proses membina keserasian pasukan, meskipun penggiliran pemain perlu dilakukan bagi menghadapi jadual pertandingan yang padat.
Katanya, sikap pemain, kombinasi permainan dan pemahaman terhadap corak taktikal pasukan menunjukkan perkembangan memberangsangkan, namun proses itu memerlukan masa serta usaha berterusan.
Dalam pada itu, beliau menjelaskan perubahan taktikal pada separuh masa kedua dilakukan selepas pasukan mengenal pasti kelemahan di bahagian tengah yang membolehkan lawan melakukan serangan balas.
Menurutnya, ruang yang wujud di bahagian tengah menyebabkan pemain lawan berpeluang mengatasi jumlah pemain Kuching City di kawasan berkenaan.
Kemasukan Ryan pada waktu rehat membantu memperbaiki keadaan sebelum perubahan seterusnya membabitkan Declan Lembert dan Joao Pedro dilakukan bagi meningkatkan kepantasan serta ancaman serangan.
Beliau berkata perubahan tersebut membolehkan Kuching City bermain dengan lebih menyerang dan dominan, selain terus memberikan tekanan sehingga wisel penamat.
Bagaimanapun, Aidil menegaskan setiap kelemahan yang dikenal pasti perlu diperbaiki menerusi latihan dan kerjasama seluruh pasukan, bukannya meletakkan tanggungjawab kepada pemain di posisi tertentu sahaja.
Katanya, aspek kekompakan dan disiplin perlu dipertingkatkan kerana semua pemain mempunyai tanggungjawab bersama ketika bertahan mahupun menyerang.
Beliau yakin pengalaman yang dikutip sepanjang musim akan membantu pemain terus berkembang, namun menegaskan penambahbaikan perlu dilakukan dengan segera kerana setiap perlawanan amat penting buat Kuching City.
Oleh Shahrul Qaizat




