BINTULU: Sebuah stor musnah sepenuhnya dalam kebakaran di simpang Samalaju-Niah, Samalaju di sini, petang ini.
Menurut Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada 1.56 petang sebelum sebuah jentera bersama empat anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Samalaju digerakkan ke lokasi.
“Setibanya pasukan di lokasi, didapati benar berlaku kebakaran melibatkan sebuah stor dengan kemusnahan dianggarkan 100 peratus.

“Pasukan kemudian menjalankan kerja-kerja pemadaman menggunakan satu aliran salur bantu mula air daripada pam jentera sehingga kebakaran berjaya dipadamkan sepenuhnya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Kebakaran berjaya dikawal pada 2.15 petang sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada 2.47 petang selepas pemeriksaan mendapati keadaan di lokasi selamat dan tiada risiko kebakaran berulang.
Tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian itu.





