KUCHING: Orang ramai khususnya pelajar sekolah dinasihatkan mengurangkan aktiviti di luar susulan jerebu yang melanda beberapa kawasan di Sarawak dengan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) berada pada tahap tidak sihat.
Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh berkata, keadaan jerebu ketika ini dipercayai berpunca dari Kalimantan Barat dan dibawa pergerakan angin ke Sarawak.
“Kalau kita lihat bacaan IPU setakat ini, Kuching mencatatkan 175 dan Samarahan 174, manakala Tebedu melepasi 200. Sibu pula mencatatkan 151 dan Sarikei 161,” katanya ketika ditemui media, di sini, hari ini.
Menurutnya, kebanyakan kawasan di Sarawak merekodkan bacaan melebihi 100 kecuali beberapa kawasan di bahagian utara negeri, sekali gus memerlukan masyarakat lebih berhati-hati ketika melakukan aktiviti luar.
“Oleh sebab itu, kita menasihatkan mereka yang menjalankan aktiviti di luar supaya berjaga-jaga. Terutama sekali pelajar sekolah, hentikanlah aktiviti di luar buat sementara waktu,” katanya.
Mengenai kemungkinan operasi pembenihan awan, Len Talif berkata, langkah itu belum dirancang setakat ini dan pihak berkaitan akan terus memantau perkembangan bacaan IPU serta keadaan cuaca.
Katanya, ramalan menunjukkan sekurang-kurangnya 30 peratus kemungkinan hujan pada Jumaat atau Sabtu, yang diharap dapat membantu meredakan keadaan termasuk sekiranya hujan berlaku di Kalimantan Barat.
“Kita sedang memantau keadaan setiap jam dan pada masa sama menasihatkan semua warga supaya berjaga-jaga serta mengurangkan aktiviti di luar,” katanya.
Oleh Norman B





