Sikap cuai cetus kebakaran, orang ramai diingat elak pembakaran terbuka

Facebook
WhatsApp
ANGGOTA bomba memadamkan belukar seluas kira-kira 2.02 hektar berhampiran sebuah rumah di Jalan Haruan, baru-baru ini. Foto BBP Sarikei

SARIKEI: Sikap segelintir masyarakat yang mengambil mudah dengan membuang puntung rokok yang masih menyala serta melakukan pembakaran terbuka boleh mencetuskan kebakaran yang cepat merebak, terutama ketika cuaca kering.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sarikei, Vincent Baling berkata, orang ramai perlu meningkatkan kewaspadaan dan mengelakkan sebarang tindakan yang berpotensi mencetuskan kebakaran, termasuk membakar sampah domestik serta melakukan pembersihan kawasan menggunakan api.

“Elakkan buang puntung rokok sembarangan. Kebakaran rumput di bahu jalan selalunya berlaku disebabkan pemandu tidak bertanggungjawab dan sikap ambil mudah pemandu membuang puntung rokok yang masih menyala ke tepi jalan raya atau bahu jalan berumput.

“Lebih parah apabila kebakaran lambat dipadam dan terus merebak sehingga gagal dikawal,” katanya ketika dihubungi media, hari ini.

DI sebalik bahang panas api, anggota bomba terus berjuang tanpa mengenal erti lelah memadam kebakaran demi melindung alam sekitar. Foto BBP Sarikei

Katanya, risiko kebakaran menjadi lebih tinggi ketika musim kering kerana keadaan rumput dan belukar yang mudah terbakar boleh menyebabkan api merebak dalam tempoh singkat.

Justeru, Vincent mengingatkan masyarakat supaya tidak melakukan pembakaran terbuka, termasuk membakar sampah di kawasan kediaman.

“Jangan bakar sampah rumah atau buat pembakaran terbuka pada musim kering. Bagi pekebun atau peladang, hentikan pembersihan kawasan dengan membuat pembakaran,” katanya.

Tambahnya, dalam tempoh seminggu sahaja, BBP Sarikei menerima dua kes kebakaran, masing-masing membabitkan kebakaran longgokan tayar di dalam tong sampah dan kebakaran belukar.

“Kedua-dua kes berpunca daripada sikap tidak bertanggungjawab masyarakat,” katanya.

Vincent berkata, kebakaran terbuka bukan sahaja berpotensi mengancam kediaman dan harta benda apabila api merebak, malah turut meningkatkan cabaran dan risiko keselamatan kepada anggota bomba ketika menjalankan operasi pemadaman.

“Antara cabaran yang dihadapi ialah kebakaran mudah dan cepat merebak, risiko strok haba, masalah pernafasan serta risiko kepada anggota bomba akibat bentuk muka bumi di lokasi kebakaran,” katanya.

Sehubungan dengan itu, beliau menggesa masyarakat memainkan peranan bersama dalam mencegah kebakaran dengan mengelakkan tindakan yang boleh menjadi punca pencetus api.

Katanya, langkah pencegahan sejak awal amat penting kerana kebakaran yang pada mulanya kecil boleh menjadi sukar dikawal sekiranya lambat dikesan dan dipadam.

Oleh Earl Anek