Nur Syakura buktikan bakat qariah Sarawak mampu tembus pentas antarabangsa

Facebook
WhatsApp
NUR Syakura Mohamad Musa bergambar bersama trofi selepas dinobatkan sebagai Johan Qariah Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Antarabangsa Kali Ke-66 2026. Foto Ukas

KUCHING, 11 Oktober: Kejayaan Nur Syakura Mohamad Musa muncul Johan Qariah pada Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Antarabangsa (MTHQA) Kali Ke-66 2026 membuktikan bakat qariah Sarawak mampu bersaing di pentas antarabangsa.

Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak, Datuk Abdul Rahman Junaidi, berkata pencapaian Nur Syakura bukan sahaja mengharumkan nama Malaysia, malah menjadi kebanggaan masyarakat Sarawak dan agensi Islam negeri.

Menurutnya, kejayaan itu membuktikan usaha berterusan dalam membimbing serta memperkasa bakat tempatan dalam bidang Al-Quran mampu menghasilkan qari dan qariah berkualiti tinggi.

“Usaha gigih yang dilakukan selama ini, khususnya oleh Ustazah Nur Syakura sendiri, membuktikan bahawa Sarawak mampu melahirkan qari dan qariah berkualiti untuk diketengahkan ke peringkat lebih tinggi,” katanya.

NUR Syakura menerima jambangan bunga sebagai tanda penghargaan atas kejayaannya menjuarai kategori qariah pada peringkat antarabangsa. Foto Ukas

Beliau berkata demikian ketika menyambut ketibaan Nur Syakura di Terminal Kenamaan, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK), di sini, hari ini.

Nur Syakura, yang berasal dari Kuching, kini berkhidmat sebagai Penyelia Guru Al-Quran di Pusat Al-Quran Darul Hana, Majlis Islam Sarawak (DHQc-MIS).

Sebelum kejayaan di peringkat antarabangsa itu, beliau turut menjuarai kategori qariah pada Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan 1447H/2026M dan peringkat Sarawak Kali Ke-65.

Beliau juga pernah meraih gelaran Johan Qariah peringkat Sarawak Kali Ke-62 pada 2023.

NUR Syakura bersama Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi dan tetamu kehormat bergambar sambil memegang Jalur Gemilang serta bendera Sarawak bagi meraikan kejayaannya di peringkat antarabangsa. Foto Ukas

Abdul Rahman berkata, Majlis Islam Sarawak akan terus mempergiat usaha melahirkan lebih ramai qari dan qariah berkualiti menerusi program pembangunan dan pengembangan Al-Quran.

Katanya, usaha berkenaan turut merangkumi aktiviti pembacaan dan penyelidikan di Pusat Pengembangan Al-Quran dan Rohaniah.

Turut hadir Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak, Datuk Misnu Taha dan Pengarah Jabatan Agama Islam Sarawak, Datu Mual Suaud.