SERIAN, 9 Oktober: Sebuah kenderaan musnah sepenuhnya dalam kebakaran di Kampung Krait Stubuh, Lorong 5, Jalan Nangka, di sini, malam ini.
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 8.07 malam sebelum anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Serian tiba di lokasi pada 8.37 malam.
Komander Operasi, PBK I Zaidel Zailani, berkata kebakaran melibatkan sebuah kenderaan yang musnah 100 peratus.
Seramai tujuh anggota bomba digerakkan ke lokasi dengan sebuah jentera bomba dan sebuah kenderaan pacuan empat roda bagi menjalankan operasi pemadaman.
Anggota bomba berjaya mengawal kebakaran pada 8.42 malam menggunakan dua saluran hos pemadam api.
Operasi ditamatkan sepenuhnya pada 9.05 malam selepas pasukan bomba memastikan keadaan selamat.
Tiada kecederaan dilaporkan dalam kejadian itu, manakala punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.
Oleh Afiq Sallehi





