Petros sumbang RM1 juta, SUCT UNIFOR perluas program pendidikan dan kebajikan

Facebook
WhatsApp
DATUK Amar Douglas Uggah Embas pada majlis penyerahan sumbangan RM1 juta daripada PETROS kepada SUCT, hari ini. Foto Pejabat Timbalan Premier Sarawak

KUCHING: Amanah Kebajikan Unit Agama-Agama Lain Sarawak (SUCT UNIFOR) akan terus memperkukuh serta memperluas pelaksanaan program pendidikan, kebajikan dan keagamaan menerusi sokongan kewangan RM1 juta daripada Petroleum Sarawak Berhad (Petros).

Timbalan Premier Sarawak merangkap Pengerusi Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR), Datuk Amar Douglas Uggah Embas, berkata sumbangan tersebut memberi ruang lebih luas kepada SUCT untuk melaksanakan pelbagai inisiatif yang memberi manfaat kepada masyarakat.

Menurutnya, bidang pendidikan khususnya di kawasan luar bandar akan terus menjadi antara keutamaan menerusi sokongan berkenaan.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penyerahan sumbangan RM1 juta daripada Petros kepada SUCT di sini, hari ini.

Uggah berkata, sepanjang 2025 hingga 2026, SUCT telah melaksanakan sebanyak 26 program meliputi inisiatif kebajikan, aktiviti keagamaan dan kerohanian serta sokongan kepada sekolah misi.

Katanya, bantuan kepada sekolah misi turut merangkumi penyediaan perabot dan kelengkapan elektrik bagi membantu memenuhi keperluan institusi pendidikan berkenaan.

“Dengan sokongan kewangan daripada Petros ini, SUCT akan dapat memperluas lagi pelaksanaan aktiviti yang memberi tumpuan kepada peningkatan pendidikan, terutama di kawasan luar bandar,” katanya.

Beliau berkata, SUCT juga memberi perhatian terhadap usaha meningkatkan prestasi sekolah misi luar bandar dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

“Usaha memperkukuh bidang STEM di sekolah misi luar bandar penting bagi membantu meningkatkan prestasi pendidikan serta memastikan murid di kawasan berkenaan turut mendapat peluang untuk berkembang dalam bidang tersebut,” katanya.

Jelasnya, pendekatan berkenaan selaras dengan usaha memastikan masyarakat di kawasan luar bandar tidak ketinggalan dalam menikmati peluang pendidikan berkualiti serta perkembangan teknologi.

Sementara itu, Pengerusi Petros, Tan Sri Datuk Amar (Dr) Hamid Bugo, berkata sumbangan RM1 juta tersebut mencerminkan komitmen syarikat terhadap pembangunan mampan yang inklusif dan dipacu komuniti.

Beliau turut menekankan kepentingan memastikan setiap sumbangan yang disalurkan mampu memberikan impak jangka panjang kepada kumpulan sasaran serta menyumbang kepada pembangunan masyarakat.

Kerjasama tersebut turut menyokong peranan SUCT dalam menyelaras bantuan kepada rumah ibadat bukan Islam selain melaksanakan pelbagai inisiatif berkaitan komuniti di seluruh Sarawak.

Menerusi sokongan berkenaan, SUCT dijangka dapat memperluas lagi program pendidikan, kebajikan dan keagamaan, sekali gus memperkukuh pembangunan komuniti secara inklusif, khususnya bagi masyarakat di kawasan luar bandar.

Oleh Adi Safarman