DUN: Abang Johari tidak mahu persepsi negatif ganggu pembangunan Sarawak

Facebook
WhatsApp
PREMIER Sarawak membentangkan Belanjawan Sarawak 2027 pada persidangan DUN di Kompleks DUN, Petra Jaya. Foto Ukas

PETRA JAYA, 12 OKTOBER: Di sebalik usaha membangunkan Sarawak dan memastikan rakyat menikmati kehidupan yang lebih baik, masih terdapat segelintir pihak yang didakwa cuba membentuk persepsi negatif menerusi media sosial.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, segelintir pihak terbabit, termasuk mereka yang berada di Sarawak sendiri, didakwa menyebarkan maklumat mengelirukan dan tidak benar yang boleh menjejaskan usaha pembangunan negeri.

“Tindakan itu, sama ada didorong oleh perasaan cemburu, cubaan mengalihkan perhatian atau motif lain, hanya akan menjejaskan usaha bersama kita serta mengganggu kemajuan yang telah dicapai selama ini.

“Namun, kita tidak akan membiarkan perkara negatif mengalihkan perhatian daripada misi kita atau menggagalkan kemajuan Sarawak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan Belanjawan Sarawak 2027 pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kompleks DUN, hari ini.

Abang Johari menegaskan bahawa kerajaan akan terus memberikan tumpuan kepada pembangunan yang membawa manfaat kepada rakyat, membuka peluang dan meningkatkan taraf hidup mereka.

“Biarlah rakyat menilai kita berdasarkan dasar, tindakan dan, yang paling penting, hasil yang kita capai.

“Saya yakin mereka akan terus bersama-sama menyokong misi murni kita,” katanya.

Dalam ucapan yang sama, beliau turut mengangkat gagasan ‘Satu Sarawak, Satu Masa Depan’ dengan mengingatkan bahawa kekuatan terbesar negeri ini bukan terletak pada kekayaan atau sumber aslinya, sebaliknya pada rakyatnya sendiri.

Katanya, meskipun masyarakat Sarawak terdiri daripada pelbagai kaum dan mempunyai bahasa, budaya serta tradisi yang berbeza, mereka tetap berkongsi tanah air dan masa depan yang sama.

“Pembangunan perlu mengeratkan hubungan antara masyarakat serta memastikan setiap rakyat Sarawak mendapat manfaat daripada kemajuan negeri.

“Masa depan yang kita impikan tidak boleh dibina oleh satu komuniti, satu institusi atau kerajaan semata-mata.

“Ia memerlukan kita semua berkongsi tanggungjawab untuk membina Sarawak yang lebih kukuh demi generasi akan datang,” ujarnya.

Oleh Masrin Affirah